PUNB longgar syarat permohonan SPUR

Noh (dua dari kanan) menjawab soalan pemberita sewaktu sidang media yang berlangsung di Bangunan Kumpulan Muara pada Khamis.
Noh (dua dari kanan) menjawab soalan pemberita sewaktu sidang media yang berlangsung di Bangunan Kumpulan Muara pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memutuskan untuk melonggarkan syarat permohonan bagi pinjaman Skim Pembiayaan Usahawan Terkesan Covid-19 (SPUR).

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, sebelum ini, permohonan bagi skim itu agak ketat dan turut mengikut syarat-syarat pinjaman bank lain berdasarkan tempoh-tempoh tertentu.

Beliau berkata, Ahli Lembaga Pengarah PUNB yang bermesyuarat secara maya pada Rabu telah bersetuju untuk melonggarkan permohonan skim itu dengan hanya menetapkan dua syarat baharu bagi pemohon yang berkelayakan.

"Syarat permohonan SPUR adalah terbuka kepada semua individu bumiputera yang hilang pekerjaan ketika penularan Covid-19 dan mereka yang mempunyai perniagaan berdaftar selepas Mac 2020.

"Sejak permohonan dibuka, PUNB telah menerima 2,052 permohonan dan dari jumlah itu, 124 permohonan adalah tidak lengkap.

"Kita putuskan untuk permudahkan syarat permohonan ini selain kelulusannya juga akan diberi dalam tempoh empat minggu," katanya sewaktu sidang akhbar yang berlangsung di Bangunan Kumpulan Muara pada Khamis.

PUNB membuka permohonan SPUR bermula 7 Mei lalu sebagai inisiatif bagi membantu individu bumiputera yang kehilangan pekerjaan berikutan penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Noh berkata, PUNB turut memutuskan untuk melanjutkan penangguhan pembayaran balik pembiayaan bagi tempoh Julai sehingga Disember tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Lanjutan tempoh pembayaran balik ini akan memberi manfaat kepada 2,330 usahawan dan 718 penerima pembiayaan Bumiputera Relief Financing (BRF).

"Susulan pelaksanaan inisiatif ini sehingga Disember depan, PUNB akn mengalami kekurangan kutipan sebanyak RM2.89 juta," katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata, 230 penyewa premis milik PUNB juga akan mendapat potongan diskaun sebanyak 50 peratus sehingga Disember ini bagi membantu meringankan bebanan mereka sewaktu serangan pandemik ini.

Tambah beliau, PUNB dijangka akan mengalami pengurangan kutipan sewa sebanyak RM12.2 juta susulan daripada pemotongan tersebut.

"PUNB amat fleksibel dan sekiranya ada usahawan yang masih terkesan selepas Disember ini, kita boleh beri pengecualian namun dengan bukti-bukti berkaitan," katanya.