Keselamatan, keberkesanan vaksin China terjamin

WHO meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19, iaitu CoronaVac yang dihasilkan syarikat biofarmaseutikal China, Sinovac. -Gambar hiasan
WHO meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19, iaitu CoronaVac yang dihasilkan syarikat biofarmaseutikal China, Sinovac. -Gambar hiasan
A
A
A

BEIJING - Berita baik untuk kita semua apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19, iaitu CoronaVac yang dihasilkan syarikat biofarmaseutikal China, Sinovac dan Malaysia dijadual bakal memperoleh 8.2 juta lagi dos vaksin itu bulan ini.

Sejumlah 3.8 juta dos akan dibotolkan oleh Pharmaniaga dan 4.4 juta dos lagi diimport secara terus.

Setakat ini, dua jenis vaksin China telah diluluskan penggunaannya oleh WHO, iaitu vaksin Sinopharm dan Sinovac.

Penolong Ketua Pengarah WHO, Mariangela Simao menyatakan bahawa dunia memerlukan lebih banyak jenis vaksin bagi mengubah ketidakadilan dalam agihan vaksin Covid-19 buat masa ini.

Kumpulan pertama vaksin yang disediakan syarikat Sinopharm untuk kemudahan COVAX juga siap sepenuhnya pada Selasa.

Botol vaksin tersebut menggunakan penanda vaccine vial monitor (VVM) yang mampu berubah warnanya mengikut suhu, dan lebih mudah dipantau.

Penting untuk kita tahu bahawa vaksin China disahkan selamat bukan hanya kerana diluluskan WHO, ia juga telah dibuktikan dengan penggunaan besar-besaran dalam dan luar negara.

Berdasarkan statistik Pusat Kawalan Penyakit (CDC) China, dari 15 Disember 2020 hingga 30 April lalu, sebanyak 265 juta dos suntikan vaksin telah diberikan di seluruh China. Pada masa sama, 31,434 kesan sampingan dilaporkan, menunjukkan hanya 11 orang mengalami kesan sampingan dalam setiap 100,000 orang.

Artikel Berkaitan:

Daripada 31,434 mereka yang mengalami kesan sampingan, kira-kira 83 peratus mengambil masa dua ke tiga hari untuk sembuh.

Apa yang lebih penting ialah terdapat hanya 188 kes kesan sampingan serius yang dilaporkan.

Kadar itu lebih rendah berbanding vaksin flu yang sejak sekian lama diberikan secara besar-besaran di seluruh dunia.

Sehingga kini, penggunaan vaksin di China telah mencatat lebih 600 juta dos, dan kebanyakannya vaksin dihasilkan Sinopharm dan Sinovac.

Pada masa sama, lebih 300 juta dos vaksin China telah disediakan kepada dunia, yang majoritinya untuk negara membangun, sebagai produk awam. Ini memberi sumbangan besar dalam menggalakkan pengagihan vaksin dengan lebih adil.

Selain keselamatan yang terjamin, keberkesanan vaksin China turut diiktiraf dunia.

The Journal of the American Medical Association (JAMA) minggu lalu menerbitkan artikel, mengumumkan keputusan ujian fasa ketiga dua jenis vaksin Sinopharm mendedahkan 99 peratus individu dikesan mempunyai antibodi pada hari ke-14 setelah lengkap menerima dua dos.

Institut penyelidikan pelbagai negara yang telah menggunakan vaksin Sinovac pula turut mengumumkan data amat memberangsangkan.

Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin mengumumkan pada Mei bahawa berdasarkan kajian terhadap 25,374 orang doktor di Jakarta, kadar perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 mencatat 94 peratus pada hari ke-28 selepas menerima dua dos vaksin Sinovac, manakala kadar perlindungan terhadap kes kematian mencatat 100 peratus.

Brazil dalam sidang akhbar yang diadakan di Inisitut Butantan pada Isnin mengumumkan setelah penggunaan vaksin Sinovac secara menyeluruh dilaksana di bandar Serrana, Sao Paulo di bawah Projek S yang dimulakan pada Februari lalu, kes baharu jangkitan tempatan menyaksikan penurunan sebanyak 80 peratus.

Kebanyakan kes baharu di bandar Serrana disebabkan varian P.1, dan ini bermakna vaksin Sinovac berkesan bagi varian itu.

Sementara itu, wabak berskala kecil yang tercetus di wilayah Guangdong China ekoran varian B.1.617 baru-baru ini, vaksin China terbukti mampu memberikan perlindungan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!