Leka main judi, lima lelaki dikompaun RM7,500 ingkar SOP

Lima lelaki dikompaun RM7,500 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dalam satu serbuan di Taman Puteri Wangsa, petang Rabu. -Foto Polis JBS
Lima lelaki dikompaun RM7,500 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dalam satu serbuan di Taman Puteri Wangsa, petang Rabu. -Foto Polis JBS
A
A
A

JOHOR BAHRU - Padah main judi, lima lelaki dikompaun RM7,500 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dalam satu serbuan di Taman Puteri Wangsa, di sini pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, serbuan itu dilakukan pada jam 3 petang selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

"Sepasukan pegawai kanan dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan telah membuat serbuan di sebuah bangunan di kawasan Taman Puteri Wangsa.

"Dalam serbuan itu, kita telah berjaya menahan lima lelaki yang berusia antara 33 hingga 49 tahun yang sedang asyik bermain judi mahjung jenis 'Gin Rummy' di dalam bangunan itu.

"Kesemua lelaki berkenaan telah dikompaun dengan nilai keseluruhan RM7,500 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan 3.0," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Khamis.

Jelasnya, dalam serbuan itu juga, pihaknya telah merampas sebuah meja, 112 batu mahjung, empat kerusi plastik, dua biji dadu dan wang tunai sebanyak RM151.

Kes ini juga katanya, akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua duanya sekali.

Tambahnya, IPD Johor Bahru Selatan akan terus menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan perjudian dan menegaskan kepada orang ramai agar mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan.

Artikel Berkaitan: