X

Kindly register in order to view this article
!

Negara Asia rugi RM6bilion akibat LSD

Bonjolan pada kulit lembu adalah antara gejala jangkitan LSD.
A
A

[INFOGRAFIK] Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan serangan penyakit kulit kental ataupun lumpy skin disease (LSD).

Penyakit kulit tersebut dikesan telah menjangkiti lembu dan kerbau di sebuah ladang ternakan di Simpang Pulai, Perak.

Situasi tersebut secara tidak langsung telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan penternak haiwan berkenaan di negara kita.

Malah, orang ramai turut menunjukkan respons sama selepas melihat beberapa keping gambar lembu dengan kulit berbonjol-bonjol tersebar di media sosial.

Mereka bimbang, penyakit yang berpunca daripada virus poxviridae itu akan menjangkiti orang ramai pula.

Bagaimanapun, kembimbangan tersebut terjawab apabila Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memberi jaminan LSD tidak menjangkiti manusia.

Menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, LSD mula dikesan di Zambia pada 1929 dan merebak ke seluruh pelusuk benua Afrika.

Penyakit berjangkit yang berpunca daripada gigitan nyamuk, lalat dan kutu itu kemudiannya menular ke Timur Tengah, Eropah Timur dan Asia Tengah.

Pada 2019, penyakit LSD dikesan menyerang Asia sehingga menyebabkan Bangladesh, China, India dan beberapa negara berhampiran terjejas.

Kesan daripada penularan penyakit tersebut, FAO menjelaskan, negara Asia berdepan dengan kerugian langsung sebanyak AS$1.45 bilion (RM6 bilion) pada tahun berkenaan.

India dan China ialah negara yang paling teruk terjejas kerana masing-masing merupakan antara pengeluar utama hasil ternakan dunia.

Jangkitan LSD di India, China dan Bangladesh yang mempunyai populasi haiwan ternakan terbesar dunia itu akhirnya merebak ke negara-negara Indochina seperti Myanmar, Vietnam dan Thailand.

Tahun lepas, Vietnam merekodkan sebanyak 1,271 lembu dan kerbau telah dijangkiti LSD yang mana 193 daripadanya terpaksa dilupuskan, menurut data agensi kesihatan haiwan negara itu.

Sementara Thailand pula merekodkan enam kematian haiwan ternakan daripada 6,700 lembu dan kerbau yang dijangkiti penyakit berkenaan, lapor Reuters.

LSD turut dilaporkan menular di Myanmar sekitar November tahun lalu, namun tiada data direkodkan mengenai jumlah jangkitan dan kematian membabitkan haiwan ternakan.

Di negara kita, JPV dilaporkan sedang memantau secara menyeluruh penularan penyakit berkenaan, terutamanya di ladang ternakan yang terjejas di Perak itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!