Pusat Perubatan MSU akan agihkan 2,250 dos sehari

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - MSU Medical Centre (MSUMC), hospital pakar swasta yang terletak di Seksyen 13, di sini dipilih sebagai salah satu daripada 12 hospital swasta untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebagai pusat pemberian vaksin (PPV HS) dengan gabungan jumlah kapasiti 2,250 dos/sehari.

MSUMC bakal berperanan untuk membantu kerajaan dalam meningkatkan bilangan penerima vaksin sehingga 150,000 suntikan sehari dalam tempoh dua bulan akan datang.

Ia juga adalah sebahagian daripada usaha untuk membantu negara dalam aspek meluaskan akses vaksin kepada komuniti setempat khasnya di Selangor.

Selaku PPV HS di Selangor, MSUMC akan menjalankan proses pemberian vaksin Covid-19 Sinovac sebanyak 400 dos sehari kepada warga emas berumur 65 tahun dan ke atas serta mereka yang berisiko tinggi dan orang kelainan upaya (OKU).

Pemberian vaksin fasa ke-2 ini akan berlangsung sehingga bulan Ogos serta tertakluk kepada koordinasi antara MSUMC dan ProtectHealth yang merupakan anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Peranan MSUMC selaku PPV HS ini juga adalah kesinambungan kepada penglibatannya dalam pemberian vaksin Covid-19 Pfizer kepada petugas barisan hadapan kesihatan di Selangor yang dilaksanakan pada fasa pertama pada Mac lalu.

Menurut Presiden dan Pengasas MSUMC, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, kerjasama pintar antara pihak awam dan swasta ini adalah penting dan tepat pada masanya dalam menyokong usaha kerajaan untuk mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok di Malaysia.

Ia turut membolehkan MSUMC berkongsi pelbagai bidang kepakaran bersama kerajaan dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Sumbangan MSUMC ini adalah kesinambungan kepada peranan Management and Science University (MSU) yang turut dilantik KKM sebagai pusat makmal bagi menjalankan ujian klinikal pengesanan Covid-19 di Malaysia.

"Makmal Penyelidikan dan Diagnostik (DXL Lab) MSU ini berperanan membantu KKM mempercepatkan keputusan ujian dan rawatan susulan dapat diberikan sebaik mungkin serta bagi mengurangkan risiko penularannya," kata beliau.