JPV, Maqis diarah turun padang kesan jangkitan LSD di sempadan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) turun padang melakukan pemeriksaan ke atas lembu-lembu yang berada di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dalam usaha mengesan penyakit kulit kental atau Lumpy Skin Disease (LSD).

Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pemeriksaan itu merangkumi lembu dan kerbau di kawasan Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah.

"Kita mengambil serius berkait dengan jangkitan itu walaupun ia masih lagi belum dikesan oleh kedua-dua agensi berkenaan berlaku di negeri ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurutnya, langkah awal ini penting dalam mencegah penyakit itu daripada 'masuk' ke negeri ini memandangkan Kelantan berhampiran dengan Thailand tempat penularan wabak tersebut dikesan.

Katanya, pemeriksaan rapi ke atas badan haiwan tersebut turut dilakukan untuk mengesan bonjolan pada kulit selain pengambilan sampel darah.

Tuan Mohd Saripudin berkata, kerajaan negeri sudah memohon bantuan pasukan keselamatan di sempadan untuk memperketatkan lagi kawalan dalam usaha mengekang kemasukan lembu seludup ke negara ini melalui lorong-lorong tikus.

Beliau berkata, kerajaan bimbang jika lembu-lembu seludup itu 'lolos' dan dikhuatiri akan membawa jangkitan tersebut.

"Hal ini kerana lembu-lembu itu tidak menjalani pemeriksaan ketat termasuklah kuarantin bagi memastikan ia betul-betul bebas daripada penyakit berkenaan sebelum dipindahkan ke kawasan ladang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu berkata, penyakit LSD boleh disebarkan melalui gigitan serangga seperti nyamuk dan lalat.

Katanya, LSD mempengaruhi kesihatan haiwan dan boleh menjejaskan ternakan lembu dalam negara.

Difahamkan, LSD telah menular di Asia sejak 2019 dan beberapa negara terkesan dengan LSD ialah Bangladesh, India, China dan yang terbaharu Thailand.

ARTIKEL BERKAITAN: NS larang bawa masuk lembu, kerbau dari luar

Penyakit kulit serang lembu, kerbau di Perak