Program Diversion KPWKM mula Ogos ini

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada program turun padang ke institusi kanak-kanak di Sekolah Tunas Bakti (Perempuan) Marang hari ini. Foto: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada program turun padang ke institusi kanak-kanak di Sekolah Tunas Bakti (Perempuan) Marang hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

MARANG - Program intervensi bagi menangani masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak, Diversion (pengalihan), yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan dilaksanakan Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata penyediaan garis panduan program itu kini pada peringkat akhir dan dijangka siap Mac ini.

"Mengikut model ini, kanak-kanak yang tersabit kesalahan ringan tidak akan ditahan dan tidak akan mempunyai rekod kesalahan," katanya dalam ucapan di Sekolah Tunas Bakti (Perempuan) Marang, di sini hari ini.

Beliau berkata modul program akan merangkumi kaunseling, khidmat masyarakat, membayar ganti rugi atau membaik pulih kerosakan yang dilakukan.

"Kadangkala kesan buruk daripada sudut piskologi yang dihadapi oleh kanak-kanak yang melalui proses perundangan akibat kesalahan kecil lebih teruk daripada kesalahan itu sendiri. Justeru inisiatif perlu dipertimbangkan untuk dilaksanakan sebagai kaedah rehabilitasi alternatif," katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan keputusan untuk melaksanakan sistem Diversion itu sangat penting bagi mengelak percampuran dengan pesalah jenayah berat.

Percampuran itu, katanya dikhuatiri akan memberi kesan negatif terhadap kanak-kanak tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita bimbang pesalah jenayah berat akan 'membuka jalan' kepada mereka untuk meneruskan aktiviti kesalahan ini selepas keluar kelak," katanya.

Katanya pengenalan program Diversion juga sebagai jalan keluar mengurangkan statistik penglibatan kanak-kanak dalam kes jenayah di negara ini yang agak membimbangkan dan meningkat saban tahun.

"Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2016, sebanyak 4,886 kes telah dilaporkan dan terus meningkat 11.7 peratus pada tahun 2017 iaitu sebanyak 5,146 kes.

"Daripada jumlah itu, jenis kesalahan tertinggi ialah berkaitan dadah iaitu 36.4 peratus diikuti harta benda sebanyak 31.2 peratus," katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata kementerian telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi menaiktaraf 17 institusi kanak-kanak di bawah kendalian JKM di seluruh negara, selaras dengan Teras Strategik 3 bagi Rancangan Malaysia ke-11.

"Kerja-kerja menaiktaraf itu bermula pada tahun lalu sehingga 2020 merangkumi pembangunan infrastruktur, peralatan dan harta modal, penyelenggaraan mesin dan peralatan, latihan serta pembangunan modul dan kapasiti," katanya.

Pada lawatan itu Wan Azizah meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat dan beramah mesra bersama 54 penghuni sekolah berkenaan. - Bernama