Sindiket pengedaran dadah lumpuh

Dadah yang dirampas dan suspek terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di Johor Bahru ditahan menerusi operasi khas dijalankan polis pada Ahad.
Dadah yang dirampas dan suspek terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di Johor Bahru ditahan menerusi operasi khas dijalankan polis pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor berjaya melumpuhkan satu lagi sindiket pengedaran dadah di bandar raya ini susulan penahanan sembilan individu menerusi operasi khas di sekitar Johor Bahru pada Ahad.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil perkongsian maklumat bersama Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura membawa kepada operasi khas ke atas sindiket itu.

Beliau berkata, kesemua suspek termasuk seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 26 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan yang bermula jam 1.20 petang itu,

"Polis merampas sebanyak 7.1kilogram (kg) ganja, 4.5kg syabu dan 3.1kg heroin dengan nilai keseluruhan RM215,283.

"Beberapa barang lain turut disita termasuk lapan buah kereta, wang tunai berjumlah RM1,200 dan pelbagai jenis barang kemas dengan nilai keseluruhan RM184,893," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Ayob Khan juga memberitahu, sindiket pengedaran itu dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dan modus operandi mereka ialah menyeludup dadah dengan memasukkannya ke dalam alat pemadam api bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Dadah berkenaan akan dibawa menggunakan lori ais masuk ke negara jiran," katanya.

Menurut beliau lagi, hasil ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, semakan mendapati tiga daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

"Kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 6 Jun untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.