PGA lumpuhkan sindiket lebur tembaga libat rampasan RM3.5 juta

Antara barang yang dirampas daripada satu sindiket yang menjalankan aktiviti melebur tembaga campuran secara salah di Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang.
Antara barang yang dirampas daripada satu sindiket yang menjalankan aktiviti melebur tembaga campuran secara salah di Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam melumpuhkan aktiviti melebur tembaga campuran secara haram melibatkan rampasan RM3.5 juta di Jalan PTD 1314 Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang pada Ahad.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan dilakukan pada jam, 4.30 petang dan berjaya menahan lapan lelaki tempatan serta warganegara asing.

"Mereka terdiri daripada tiga lelaki tempatan berumur lingkungan 24 hingga 44 tahun, empat lelaki warga China dan seorang lelaki warga Bangladesh yang berumur lingkungan 30 hingga 66 tahun.

"Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek yang ditahan menjalankan aktiviti melebur tembaga campuran dipercayai secara haram," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dimin berkata, antara barang yang dirampas adalah enam guni putih berisi kepingan tembaga campuran, 24 pallet berisi kepingan tembaga campuran, 41 guni putih berisi tembaga campuran dan 13 jongkong berisi tembaga anggaran berat setiap jongkong 450 kilogram (kg).

"Ini termasuk 67 guni putih berisi arang batu; satu buah fork lift truck jenis Toyota model, satu fork lift truck model Zhou A35, tiga mesin generator model airman diesel, tiga mesin relau dan enam mesin penyedut angin model dungyin.

"Selain itu turut dirampas dua penyedut air model (Xintayz); satu mesin kimpal model I-Weld Smaw 500 AC dan satu penimbang model Jadever. Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM3,500,750," katanya.

Menurutnya, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, tangkapan dan rampasan itu berjaya melumpuhkan sindiket melebur tembaga secara salah di kawasan Simpang Renggam serta Pontian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 6 Akta Barang Lusuh (ABL) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen," ujarnya.

Beliau meminta orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan.