Terpengaruh berita tidak benar, alasan tidak hadir vaksinasi

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Terpengaruh dengan berita tidak benar benar dan tidak menyemak aplikasi MySejahtera antara alasan 10,000 penduduk di negeri ini tidak menghadiri janji temu suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) di Pahang.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, itu antara alasan diterima selepas pihaknya mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu daripada pihak berkaitan.

Menurutnya, terdapat segelintir penduduk yang mendakwa mereka terlupa, selain tidak menyedari lokasi, masa dan tarikh janji temu vaksin yang diberikan menerusi aplikasi MySejahtera.

"Saya dimaklumkan ada dalam kalangan warga emas telah mengubah fikiran untuk tidak disuntik kerana terpengaruh dengan berita tidak benar tentang vaksin.

"Perkara (berita tidak benar) ini telah disebarkan ahli keluarga atau sahabat atau yang tular di media sosial," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial rasminya pada malam Ahad.

Sebelum itu, Wan Rosdy berkata, mengenai isu peratusan ketidakhadiran vaksinasi yang berada pada tahap tidak memuaskan di PPV Pahang.

Jelasnya, daerah Raub merekodkan sebanyak, 45 peratus; diikuti Pekan, 43 peratus; Maran 40 peratus; Bera, 28 peratus; Bentong dan Jerantut masing-masing 22 peratus.

"Di daerah Temerloh, 18 peratus; Rompin 17 peratus; Kuantan, 15 peratus; Lipis, 14 peratus; dan Cameron Highlands, 9 peratus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Pahang akan terus mendapatkan maklum balas daripada rakyat Pahang berhubung isu ketidakhadiran janji temu suntikan vaksin.

Tambahnya, semua pihak perlu berusaha sebaik mungkin untuk mencapai tahap imuniti kelompok (herd immunity) dengan segera.

"Perkara ini hanya boleh tercapai jika sebahagian besar kita telah disuntik vaksin dan ia secara tidak langsung dapat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19, " katanya.