Kembalikan proses semak-imbang

A
A
A

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mencabar kerajaan mengambil tindakan ke atasnya jika fakta yang didedahkannya mengenai penjualan aset dan pinjaman oleh kerajaan Perikatan Nasional adalah palsu.

Beliau dilaporkan oleh media massa sebagai mendakwa bahawa tahun ini sahaja – baru lima bulan – kerajaan telah meminjam dan menjual harta awam berjumlah RM115.53 bilion.

Katanya, beliau sanggup disiasat di bawah Ordinan Darurat mengenai berita palsu dan sanggup membayar denda RM100,000 jika senarai pinjaman serta penjualan aset negara itu tidak benar.

Beliau membuat dakwaan itu melalui Facebook. Beliau mendakwa, jumlah itu adalah dana tambahan kepada hasil biasa yang kerajaan pungut.

Dakwaan Najib itu sangat menarik dan relevan kerana tiada proses semak-imbang yang terbuka sejak penggantungan Parlimen akibat pengisytiharan darurat berkuat kuasa 11 Januari lalu.

Dalam tindak balasnya, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, kalau tidak kerana beban hutang 1MDB dan SRC International yang Najib tinggalkan, lebih banyak duit boleh dibelanjakan bagi membantu rakyat ketika krisis Covid-19.

Sama ada dakwaan Najib tepat atau tidak dan sama ada kita percaya atau tidak kepada jawapan Tengku Zafrul, hakikatnya semua Perdana Menteri Malaysia bermula dengan Tunku Abdul Rahman Putra menjual harta negara dan berhutang.

Bezanya adalah sama ada hutang dan penjualan harta itu dilakukan secara berhemah, bebas rasuah dan untuk tujuan produktif demi kebaikan negara serta rakyat atau untuk muslihat peribadi.

Artikel Berkaitan:

Dalam hal hutang SRC International yang Tengku Zafrul sebutkan itu, Najib sudah pun didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. Rayuan beliau kepada Mahkamah Rayuan sedang menunggu keputusan.

Pada zaman Tunku Abdul Rahman, Malaysia berhutang AS$45 juta pada 1965 bagi melaksanakan Rancangan Pengairan Muda di Kedah dan Perlis. Dalam kadar tukaran hari ini, jumlahnya kira-kira RM184.5 juta. Itu pun sudah dikira cukup besar.

Sekarang, kerajaan meminjam berbilion ringgit setahun adalah perkara biasa.

Najib sendiri ketika menjadi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan meminjam secara besar-besaran dari dalam dan luar negara.

Misalnya, hutang dan tanggungan 1MDB sahaja pernah melepasi RM50 bilion, manakala hutang SRC International termasuk faedah daripada Kumpu-lan Wang Persaraan (KWAP) berjumlah RM9.2 bilion.

Menjual aset negara dan berhutang tidak susah. Banyak syarikat dan usahawan swasta berminat membeli harta kerajaan.

Sekarang pun, tauke hartanah, Tan Sri Desmond Lim Siew Choon sedang mencuba membeli tanah Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang seluas 1,200 ekar daripada kerajaan.

Begitu juga dengan berhutang. Kerajaan boleh pinjam dengan mudah dan banyak duit golongan pekerja serta orang ramai yang disimpan atau dilabur dalam tabung-tabung berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan KWAP.

Yang susah adalah hendak membina semula aset, antaranya dikumpul sejak zaman penjajah lagi.

Aset dalam bentuk tanah semakin sukar untuk didapati dan harganya pula mahal.

Apa yang sedang berlaku sekarang, sama ada penjualan aset dan pengambilan hutang atau krisis Covid-19 yang semakin memuncak, wajib dihalusi dan ditangani secara bersama.

Bagi tujuan itu, adalah amat penting fungsi semak-imbang Parlimen dipulihkan segera.

Sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri boleh diadakan secara virtual.

Vaksinasi wakil rakyat dan kakitangan terbabit dipercepatkan supaya boleh bersidang seperti biasa.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara