X

Kindly register in order to view this article
!

'Total lockdown': Rakyat Kelantan serbu pasar raya

Orang ramai mula menyerbu beberapa pasar raya terkemuka di negeri ini sebagai persiapan menghadapi 'total lockdown' bermula 1 Jun ini.
A
A

KOTA BHARU - Penduduk di negeri Kelantan mula menyerbu beberapa buah pasar raya terkemuka di negeri ini sebagai persiapan menghadapi 'total lockdown' bermula 1 Jun ini.

Tinjauan Sinar Harian pada Sabtu mendapati orang ramai dilihat masih beratur panjang menunggu giliran untuk masuk ke pasar raya bagi mendapatkan barangan keperluan.

Seorang pengguna, Hafiz Ibrahim, 39, berkata, dia terkejut apabila terpaksa beratur panjang untuk masuk ke pasar raya.

"Saya tidak menyangka ramai orang keluar membeli pada hari ini walaupun tahu kerajaan akan melaksanakan 'total lockdown' pada 1 Jun nanti," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, dia reda walaupun terpaksa mengambil tempoh yang agak lama untuk menunggu giliran.

Seorang lagi pengguna, Rohayu Ariffin, 50, dari Salor di sini berkata, dia keluar membeli barangan pada Sabtu sebagai persiapan menghadapi 'total lockdown'.

Orang ramai memenuhi pasar raya sejak pagi untuk mendapatkan barangan keperluan.
Orang ramai memenuhi pasar raya sejak pagi untuk mendapatkan barangan keperluan.

Dia berkata, tindakan itu diambil kerana dia hanya keluar sebulan sekali untuk membeli barangan keperluan harian.

"Walaupun terpaksa beratur panjang, saya tidak kisah asalkan dapat membeli barangan keperluan.

"Apa yang penting, kita perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka, jaga penjarakan fizikal serta kerap mencuci tangan," katanya.

Noraini Jalartdin, 29, berkata, dia datang ke pasar raya hanya untuk membeli beras dan beberapa keperluan dapur.

Menurutnya, dia hanya membuat pembelian mengikut keperluan sahaja.

"Tiada istilah pembelian panik, kita ikut SOP dan arahan semasa kerajaan, tetapi terkejutlah bila tengok ramai orang hari ini," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja pasar raya yang mahu dikenali sebagai Ayu mengakui berlaku pertambahan pelanggan.

Katanya, bagaimanapun hanya 300 pelanggan sahaja yang dibenarkan masuk secara bergilir-gilir mengikut SOP pada satu masa.

"Hari ini luar biasa mungkin sebab nak 'lockdown', dari pagi tadi lagi orang ramai memenuhi pasar raya sehinggalah sekarang," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!