Pengunjung serbu Discover PKNS Kota Puteri

A
A
A

SERAMAI 2,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan pelancaran projek Puteri Ariana sempena Discover Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Kota Puteri di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS (Pembangunan Hartanah), Ir Md Kamarzan Md Rais berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang dua hari program itu berlangsung.

"Antara aktiviti berbentuk karnival disediakan seperti fun run, cabutan bertuah, pertandingan mewarna dan fotografi, persembahan artis jemputan serta acara pentas dan hiburan.

"Kita juga mengadakan ruang pameran antaranya kaunter bergerak Majlis Perbandaran Selayang serta saringan kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran projek perumahan itu di Galeri Jualan Hartanah Kota Puteri di sini pada Ahad.

Md Kamarzan berkata, program itu dilihat sebagai platform bagi mendekati orang ramai sekali gus mempromosikan produk ditawarkan PKNS.

Jelas beliau, kempen itu dilaksanakan di lima lokasi mulai Sabtu lalu dan berakhir pada 29 Oktober depan.

"Selepas penganjuran di Kota Puteri, kempen ini diteruskan di Antara Gapi, Selangor Cyber Valley, Cyberjaya, Kompleks PKNS Shah Alam dan diakhiri di Pusat Konvensyen Shah Alam," ujarnya.

Mengulas mengenai pelancaran pembangunan Puteri Ariana, Md Kamarzan memberitahu, sebanyak 72 unit rumah berkembar pelbagai saiz unit dan lot berkeluasan 1,979.7 dan 2, 258 kaki persegi ditawarkan dengan harga bermula dari RM590,000.

Ujar beliau, kediaman Puteri Ariana dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik air, dengan konsep moden tropika, kadar kepadatan rendah, ruang anjung kereta luas, berdekatan rekreasi, susun atur pelan lantai yang efisien lokasi strategik dan harga berpatutan.

Jelasnya, projek perumahan itu melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM48.14 juta di kawasan seluas 6.46 ekar (2.58 hektar).

"Kami yakin pembangunan projek kediaman ini akan membantu meningkatkan industri komersial di sekitar Kota Puteri dengan menyediakan tempat tinggal bagi mereka yang berkeluarga dan menjadikan kawasan ini sebagai tempat tinggal," kata beliau

Sehubungan itu, katanya, sebanyak 72 unit kediaman itu dijangka terjual dalam tempoh sebulan sejak pelancarannya dibuka pada Ahad.

"Sambutan baik diterima penduduk di sini menunjukkan pembangunan PKNS diterima untuk mereka yang ingin memiliki kediaman.

"Selain itu, kita jangka pembangunan projek ini jangka siap pada Disember 2025," katanya.

Selain itu, katanya dua lagi projek dilaksanakan PKNS di Puteri Ariana 2 dan Puteri Ariana 3 (superlink) pada tahun ini.

"Sebanyak 72 unit lagi pembinaan dicadang dibangunkan di Puteri Ariana 2 dan sebanyak 25 unit lagi di Puteri Ariana 3," jelas beliau.