Rakyat Kelantan harap semua projek disiapkan - Ahmad

Anwar (kiri) bersama Ahmad ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV. - Foto Bernama
Anwar (kiri) bersama Ahmad ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan berharap semua projek yang dirancang di negeri ini dapat disiapkan dengan sempurna.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yacob berkata, hasrat itu sekali gus memacu lebih banyak pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pelaburan.

Beliau memberitahu, potensi tersebut dapat direalisasikan dengan memastikan pelaksanaan semua projek yang dirancang khususnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Kelantan juga memiliki potensi besar sebagai hub pelaburan baharu di Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini malam ini.

Beliau juga yakin kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mampu membantu memudahkan semua urusan berkaitan pembangunan di Kelantan untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan di atas kerjasama dengan kerajaan negeri sekali gus mengukuhkan hubungan ini berlandaskan semangat persekutuan," katanya.

Dalam ucapan sama, beliau turut bersyukur kerana Kelantan dianugerahkan keamanan merentasi kaum Melayu, Cina, India, Siam dan lain-lain.

Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani diadakan di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu serta Selangor.

Ia bertujuan mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat di negeri-negeri berkenaan.