Pengasuh taska perlu diberi keutamaan terima vaksin

Rina Harun - Foto Bernama
Rina Harun - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Lebih 18,000 pengasuh di 5,326 taman asuhan kanak-kanak (taska) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu diberi keutamaan mendapat vaksinasi bagi memastikan persekitaran kanak‐kanak terjamin.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia ekoran peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan kanak‐kanak dengan seramai 64,046 kanak‐kanak telah dijangkiti Covid-19 sehingga 18 Mei lalu berbanding 8,369 kanak-kanak yang dilaporkan sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menulis surat permohonan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM) serta pihak berkaitan bagi memasukkan pengasuh taska di dalam senarai utama penerima vaksin.

Bercakap kepada media selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada Jumaat, Rina juga berharap ujian tahap keberkesanan vaksin untuk golongan di bawah umur 18 tahun dapat dipercepatkan supaya kadar jangkitan kepada golongan tersebut dapat dikurangkan.

Semasa tinjauan itu, Rina menyumbangkan barang keperluan kanak-kanak yang ditempatkan di PKRC itu. Terdapat 195 kanak‐kanak berumur bawah 12 tahun sedang menerima rawatan akibat Covid-19 di fasiliti berkenaan.

Mengenai vaksinasi bagi golongan warga emas, Rina berkata, seramai 180,000 orang telah lengkap menerima dua dos, manakala 600,000 orang lagi telah menerima satu dos. - Bernama

Artikel Berkaitan: