Terdapat 13 kesan kecederaan pada tengkorak

Unit K9 IPK Perak menjalankan siasatan di lokasi penemuan tengkorak dan tulang manusia di Teluk Intan. Foto: ihsan PDRM
Unit K9 IPK Perak menjalankan siasatan di lokasi penemuan tengkorak dan tulang manusia di Teluk Intan. Foto: ihsan PDRM
A
A
A

GEORGETOWN - Laporan bedah siasat ke atas tengkorak manusia yang ditemui dalam longkang berhampiran sebuah premis di Jalan Makloom, di sini pada Selasa lepas mendapati terdapat 13 kesan kecederaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kecederaan itu membabitkan kesan tikaman, luka dan torehan, pada tengkorak dipercayai milik seorang wanita.

“Setakat ini belum dapat dipastikan lagi punca kematian si mati, dan kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kecederaan tersebut, sama ada ia punca kematian si mati membabitkan jenayah atau sebaliknya.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut termasuk menghantar spesimen ke Jabatan Kimia, untuk dianalisis serta ujian asid deoksiribonukleik (DNA), bagi mengenal pasti identiti pemilik tengkorak tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Selasa lepas, seorang kelindan lori menemui tengkorak manusia, ketika lelaki itu sedang berehat di bahagian luar tempat kerjanya di Jalan Makloom, di sini.

Lelaki berusia 22 tahun itu dikatakan terlihat satu objek seakan-akan tengkorak di dalam longkang bahagian luar premis tersebut pada 3.30 petang, sebelum memaklumkan pada majikannya dan kemudiannya membuat laporan polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja ladang jumpa tengkorak ketika meracun rumput

Soffian berkata, berdasarkan laporan bedah siasat juga mendapati, mangsa berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun dan dipercayai meninggal dunia antara enam hingga 12 bulan lepas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan, dan pihak polis juga akan mendapatkan senarai orang hilang bagi mengenal pasti identiti mangsa.

“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung penemuan tengkorak itu, diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), sementara menunggu hasil siasatan lanjut. - Bernama