Rangka manusia prasejarah ditemui di Lembah Nenggiri

Siaran media MOTAC.
Siaran media MOTAC.
A
A
A

SHAH ALAM - Rangka manusia prasejarah yang lengkap bersama beberapa artifak lain ditemui di Gua Keledung Kecil, Lembah Nenggiri, Kelantan pada November lepas.

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), rangka prasejarah tersebut ditemui oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai, Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Profesor Madya Dr Zuliskandar Ramli semasa menjalankan kerja-kerja Ekskavasi Arkeologi Menyelamat bagi Projek Hidroelektrik Nenggiri di Lembah Nenggiri.

Jelas MOTAC, penemuan rangka manusia prasejarah di gua tersebut adalah antara jumpaan penting kepada warisan arkeologi negara sekali gus menyumbang kepada dapatan fakta baharu berkait amalan pengebumian dan evolusi sosiobudaya kehidupan zaman prasejarah khususnya di Lembah Nenggiri.

"Rangka manusia tersebut berada dalam kedudukan melipat sepenuhnya dan menghadap ke arah barat daya. Kedudukan melipat sepenuhnya ini merupakan posisi hampir sama dengan kedudukan fetus dalam kandungan ibu mengandung.

"Selain itu, perkara menarik berkenaan rangka itu adalah asosiasi artifak berada di sekelilingnya berfungsi sebagai alat bekalan kubur. Tapak tangan kanan si mati memegang mineral hematit manakala tapak tangan kiri pula memegang lutut kaki kanan.

"Di sekeliling rangka juga terdapat alat-alat batu yang dikebumikan bersama-sama dengan si mati antaranya batu pelandas dengan alat 'grindpounding', kapak genggam dan alat repeh diperbuat daripada batu sabak serta kristal kuarza yang sering digunakan dalam ritual pengebumian masyarakat prasejarah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini rangka manusia prasejarah yang hampir lengkap berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun ditemui di Gua Chawan, Lembah Nenggiri di Kelantan pada 2 November 2018.

Rangka prasejarah yang dipercayai seorang remaja perempuan itu ditemui oleh penyelidik dari UKM bersama sekumpulan penyelidik sejarah.

Sementara itu, MOTAC berkata, cara pengebumian rangka manusia prasejarah yang ditemui tersebut merupakan amalan masyarakat prasejarah yang terawal mendiami Lembah Nenggiri sejak 14,000 tahun lalu.

Katanya, sampel gigi dan cengkerang siput akan dihantar ke Beta Lab di Amerika Syarikat untuk memperoleh pentarikhan kronometrik.

"Sebagai langkah awal, rangka manusia prasejarah ini akan dibawa keluar dari Gua Keledung Kecil dan ditempatkan di makmal konservasi Jabatan Warisan Negara untuk kerja kerja pemuliharaan secara menyeluruh," ulasnya.

Jelas kenyataan itu lagi, MOTAC melalui agensinya iaitu Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama kerajaan negeri Kelantan akan memastikan penemuan berkenaan dijadikan rujukan sejarah dan warisan negara serta dikongsikan juga kepada orang ramai.

Menurutnya, sebuah galeri mini akan dibangunkan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran dengan Empangan Nenggiri bagi menempatkan segala jumpaan arkeologi di Lembah Nenggiri termasuk rangka yang dijumpai di Gua Keledung Kecil.

"Kewujudan galeri tersebut pastinya akan menjadi aset atau produk pelancongan berasaskan warisan dan budaya bagi menarik pelancong datang ke Lembah Nenggiri.

"Impaknya amat positif kepada rantaian sektor perkhidmatan di mana limpahan ekonomi serta kemakmuran akan dinikmati oleh rakyat tempatan secara keseluruhan," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!