UPM nafi dakwaan tular kucing pembawa virus Covid-19

Kenyataan UPM pada Khamis menjawab dakwaan tular berhubung kajian yang dilakukan terhadap kucing.
Kenyataan UPM pada Khamis menjawab dakwaan tular berhubung kajian yang dilakukan terhadap kucing.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) menafikan dakwaan tular bahawa kucing membawa kepada penularan Covid-19 terhadap manusia.

Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Profesor Dr Abdul Rahman Omar berkata, mesej yang tular mengatakan pihaknya membuat kajian berikutan semakin ramai yang memelihara kucing dijangkiti Covid-19 adalah tidak benar sama sekali.

"Objektif utama kajian ini ialah untuk mengetahui sekiranya haiwan peliharaan seperti kucing boleh dijangkiti Covid-19 daripada pemilik mereka. Sampel yang diambil daripada kucing ialah calitan hidung, mulut dan rektum serta darah.

"Pemilik kucing juga diminta menjawab satu kajian soal selidik mengenai sejarah penyakit Covid-19 yang mereka hadapi serta maklumat mengenai kucing peliharaan dan pengendalian mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, hasil kajian itu akan digunakan sebagai panduan atau cadangan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 daripada pemilik haiwan kepada kucing mereka.

"Kajian yang ditutup pada 23 Mei lalu telah mendapat penyertaan yang mencukupi daripada pesakit Covid-19," ujar beliau.

Sehingga kini, katanya, tiada bukti saintifik yang mengaitkan kucing atau sebarang haiwan peliharaan sebagai penyebar virus covid-19 kepada manusia atau kepada haiwan lain.

Berikutan itu, beliau berkata, UPM meminta orang ramai supaya tidak mudah membuat kesimpulan berdasarkan mesej tular berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kami menggesa orang ramai, pemilik haiwan dan pencinta haiwan supaya tidak terburu-buru membuat kesimpulan berdasarkan mesej berkenaan.

"Kami berharap semua pihak menghentikan sebaran mesej tersebut kerana ia adalah salah dan bertentangan dengan tujuan sebenar kajian yang kami jalankan," katanya.