X

Kindly register in order to view this article
!

Belum ada arahan PKPD di Kuala Terengganu

Sekatan jalan raya (SJR) dilakukan polis di bulatan Batu Besurat, Ladang Kuala Terengganu yang merupakan antara laluan utama menghala ke pusat bandar.
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu setakat ini belum menerima sebarang arahan berhubung penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, maklumat yang tular pada Khamis kononnya PKPD akan dikuatkuasakan di daerah Kuala Terengganu masih belum diputuskan.

Roslee Chik
Roslee Chik

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini polis memberi tumpuan untuk mengurangkan jumlah kemasukan kenderaan ke bandaraya Kuala Terengganu.

"Kita perhatikan masih banyak kenderaan yang tertumpu ke arah bandar Kuala Terengganu. Oleh kerana itu, banyak sekatan jalan raya (SJR) dilakukan bagi mengurangkan jumlah kenderaan, seterusnya mengelak orang ramai berkumpul di satu-satu tempat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai maklumat tular mengatakan orang ramai tidak dibenarkan keluar rumah selepas jam 8 malam.

"Sebenarnya sebarang bentuk perniagaan dibenarkan beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam kecuali farmasi dibenarkan sehingga jam 10 malam, manakala stesen minyak di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam.

"Selepas jam 8 malam, tidak ada sebarang sekatan, namun kita galakkan semua masyarakat berada di rumah jika tiada sebarang tugasan atau urusan mustahak," jelas beliau.

Sementara itu, Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) pada Rabu memaklumkan bahawa daerah Kuala Terengganu merekodkan sebanyak 309 kes aktif Covid-19 selepas Besut yang merekodkan kes aktif tertinggi sebanyak 550 kes.

Daerah Setiu pula merekodkan sebanyak 277 kes, selain Dungun (208), Kuala Nerus (196), Marang (13), Hulu Terengganu (118) dan Kemaman (87).


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!