6,200 tidak hadir janji temu suntikan vaksin di Negeri Sembilan

Veerapan (tiga dari kanan) ketika melawat PPV di Hospital UCSI, Port Dickson pada Khamis.
Veerapan (tiga dari kanan) ketika melawat PPV di Hospital UCSI, Port Dickson pada Khamis.
A
A
A

PORT DICKSON - Seramai 6,200 yang sudah mendaftar bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di negeri ini tidak hadir pada tarikh janji temu suntikan vaksin Covid-19 yang ditetapkan sejak April hingga Khamis.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, antara alasan yang diberikan ialah tidak menyemak aplikasi MySejahtera sehingga terlepas tarikh janji temu yang ditetapkan di lapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini.

Selain itu, beliau berkata, ada yang memberi alasan lokasi PPV ditetapkan jauh daripada rumah mereka.

"Contohnya, ada yang mendapat tempat janji temu di PPV Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Seremban tetapi rumahnya adalah di luar dari daerah Seremban.

"Ada juga yang memberi alasan tiada siapa yang boleh menghantar mereka ke PPV," katanya ketika sidang akhbar selepas melawat PPV di Hospital UCSI di sini pada Khamis.

Veerapan berkata, terdapat juga mereka yang tidak hadir untuk mendapatkan suntikan pertama kerana sedang melakukan kuarantin diri berikutan positif Covid-19 atau dikesan sebagai kontak rapat.

Sehubungan itu, Veerapan mengingatkan orang ramai supaya mengambil serius pengambilan vaksin berkenaan kerana ia membantu mengatasi penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, Veerapan berkata, terdapat lima hospital swasta dan lapan klinik swasta di negeri ini dijadikan sebagai PVV.

Artikel Berkaitan:

Antaranya ialah Hospital UCSI, Pusat Perubatan Mawar, Hospital Pakar Salam di Senawang, Hospital KPJ Seremban dan Pusat Perubatan Nilai.

"Lapan klinik swasta pula ialah Klinik Anda dan Poliklinik Damai (Senawang); Klinik AMC,Klinik Icon dan Klinik Daniel (Seremban 2); Klinik Nisa, Klinik Desaria dan Klinik Dr Lee (Nilai)," katanya.

Tambah beliau, setakat ini terdapat sebanyak 17 kluster aktif di Negeri Sembilan membabitkan kluster tempat kerja (empat), jangkitan komuniti (empat), perhimpunan keagamaan (lima), golongan berisiko (dua) serta masing-masing satu daripada kluster pendidikan dan pusat tahanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 9,000 tidak hadir terima vaksin di Perak