Enam sewa bilik untuk berparti dikompaun RM4,000 seorang

Kesemua mereka dikompaun sebanyak RM4,000 seorang kerana gagal mematuhi SOP PKP.
Kesemua mereka dikompaun sebanyak RM4,000 seorang kerana gagal mematuhi SOP PKP.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Enam individu termasuk dua wanita dikompaun sebanyak RM4,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul di bilik sewa untuk berparti.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, serbuan Ops Covid-19 yang dijalankan ke atas sebuah bilik penginapan di sini pada jam 1.30 pagi Khamis mendapati empat lelaki dan dua wanita berada di dalam bilik berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke dalam bilik terbabit mendapati kesemua mereka berusia antara 17 hingga 33 tahun telah berkumpul sambil minum minuman keras dan menghisap dadah.

"Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis

Beliau berkata, polis turut menemui satu paket plastik lut sinar di dalamnya berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 0.8 gram yang dimiliki seorang lelaki berusia 29 tahun.

"Saringan air kencing mendapati salah seorang daripada mereka yang merupakan pemandu lori dari Taman Bandar Baru Sungai Lalang itu menunjukkan dia positif dadah jenis ketamin. Manakala semakan lanjut ke atas lelaki terbabit menunjukkan dia mempunyai pelbagai rekod lampau termasuk mendatangkan kecederaan, mencuri dan merusuh.

"Hasil soal siasat, kesemua individu itu mengaku menyewa bilik tersebut untuk berparti," katanya.

Adzli berkata, kesemua mereka telah dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 setiap seorang kerana melakukan aktiviti terlarang manakala lelaki berusia 29 tahun turut direman bagi meneruskan siasatan.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021.