Kadar vaksinasi negara terus meningkat

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Dalam tempoh seminggu, kadar vaksinasi di negara ini mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 95,000 dos berbanding 75,000 dos sehari.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kadar tersebut dijangka terus meningkat untuk mencapai sasaran vaksinasi sebanyak 150,000 dos sehari pada Jun depan.

“Pada 18 Mei, sebanyak 75,000 dos vaksinasi direkodkan. Kelmarin, angka ini meningkat sehingga 95,000 dos. Pendaftaran penerima vaksin kini mencecah hampir 45 peratus daripada populasi berumur 18 tahun ke atas dengan pendaftaran sebanyak 10,820,190, ” katanya pada sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba semalam.

Sehingga Ahad, pendaftaran bagi Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah sebanyak 3,433,739.

“Bilangan vaksin yang telah diberi kepada orang ramai secara keseluruhan adalah 2,483,496, manakala bagi fasa 2 yang telah divaksinasi adalah 372,895 sehingga semalam,” ujar beliau.

Khairy memberitahu, sebanyak 260,910 dos vaksin Pfizer akan tiba pada Khamis dan Jumaat ini menjadikan jumlah dos vaksin daripada Pfizer yang telah dihantar adalah 2,751, 840.

Menurut beliau, sebanyak 320,000 dos vaksin daripada Sinovac yang dibotolkan oleh Pharmaniaga dijangka diagih-agihkan pada minggu ini.

“Ini adalah penambahan kepada 500,000 vaksin Sinovac yang tiba pada 21 Mei lalu, bersama 559,200 dos AstraZeneca daripada COVAX.

Artikel Berkaitan:

“Satu lagi penghantaran bekalan vaksin AstraZeneca dijadualkan pada hujung bulan ini dengan jumlah yang sama,” katanya.