Disiplin kendiri penting!

Rakyat Malaysia perlu mempunyai disiplin kendiri yang tinggi bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
Rakyat Malaysia perlu mempunyai disiplin kendiri yang tinggi bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia perlu mempunyai disiplin kendiri yang tinggi bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terutama ketika dibenarkan hanya dua jam berada di dalam pasar raya dan pusat beli-belah.

Pakar Sosiologi, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, dengan situasi penularan Covid-19 yang kian meruncing, seseorang itu harus mempunyai tanggungjawab dan tidak bergantung kepada kerajaan untuk mendisiplinkan diri mereka.

“Kita tak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk mendisiplinkan diri kerana sumber kerajaan sekarang terhad.

“Apa yang perlu dilakukan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) itu diikuti ialah individu itu perlu ada disiplin dan membuat pemantauan sendiri. “Jika dua jam, masuk jam 2 petang pastikan keluar sebelum jam 4 petang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berharap kelonggaran yang diberikan kerajaan itu tidak disalah guna dengan melanggar SOP yang telah ditetapkan.

Sekiranya semua rakyat Malaysia memainkan peranan, tidak mustahil untuk kita memerangi jangkitan Covid-19 seperti yang dilakukan di beberapa negara.

“Rakyat harus memikirkan apa yang penting ketika ini sama ada kepuasan membeli-belah lebih daripada masa yang diperuntukkan atau keselamatan dan kesihatan diri.

“Kita tidak mahu situasi sedih akibat penyebaran pandemik Covid-19 berlaku kepada diri kita,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Pengunjung mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka ketika membeli-belah di pasar raya di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor pada Isnin. -Foto Bernama
Pengunjung mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka ketika membeli-belah di pasar raya di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor pada Isnin. -Foto Bernama

Sementara itu, rata-rata pengunjung mengakui tidak yakin terhadap saranan kerajaan yang menetapkan had tempoh dua jam di kompleks beli-belah di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut seorang pelajar dari sebuah institut pengajian tinggi (IPT), Ayu Che Adnan, terdapat segelintir masyarakat yang sukar mendengar nasihat dan mengambil ringan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Susah untuk pihak pengurusan kompleks beli-belah ikut sebab orang kita susah nak dengar nasihat.

“Mesti ada yang akan lebih daripada dua jam. Lagi-lagi kalau keadaan kompleks itu penuh dengan pengunjung, memang susah untuk pihak pengurusan pantau satu-satu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian dalam tinjauan di kawasan pusat beli-belah di sini pada Isnin.

Salah seorang pengunjung dikenali sebagai Faizul Muhammad Asyraf berkata, tempoh had berkenaan boleh dipatuhi sekiranya mereka pergi hanya bertujuan membeli barangan keperluan.“Kita tidak perlu beli banyak barang, lepas kita beli barang itu, keluar terus.

“Kalau berjalan-jalan dalam kompleks itu, mungkin tidak cukup dua jam,” katanya.