Rabies ragut satu lagi nyawa di Sarawak

Jumlah kematian akibat rabies pada tahun ini meningkat kepada tiga kes.
Jumlah kematian akibat rabies pada tahun ini meningkat kepada tiga kes.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat satu lagi kematian akibat jangkitan rabies manusia di Sarawak pada 6 Mei lalu.

Ia menjadikan jumlah kematian berpunca daripada penyakit itu pada tahun ini meningkat sebanyak tiga kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sarawak sejak diisytiharkan pada 1 Julai 2017 ialah sebanyak 34 kes dengan 32 kematian.

“Kes ini merupakan seorang wanita warganegara Malaysia berumur 45 tahun yang tinggal di Rh Janggu, Sungai Tepus, Selangau, Sarawak.

“Beliau mempunyai sejarah digigit oleh anjing peliharaannya di tangan kiri semasa meleraikan haiwan tersebut yang sedang berlawan dengan anjing lain pada 9 Mac lalu.

“Rawatan luka sudah dilakukan, suntikan antitetanus dan janji temu susulan juga telah diberikan. Malangnya kes telah tercicir daripada rawatan susulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, selepas berjaya dikesan, wanita berkenaan telah diberi suntikan vaksin antirabies dos pertama pada 29 April lalu.

“Namun begitu, pesakit mengadu sakit mata, lemah badan dan kebas di bahagian tangan kiri semasa hadir mendapatkan suntikan dos kedua pada 2 Mei, lalu dimasukkan ke wad di Hospital Sibu untuk rawatan.

Artikel Berkaitan:

“Sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies telah diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“Keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 5 Mei 2021. Keadaan pesakit semakin merosot dan meninggal dunia pada 6 Mei 2021, jam 7 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis,” ujar beliau.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di Sarawak agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan virus rabies.

“Apabila jangkitan virus rabies yang berlaku di luka gigitan haiwan tidak diambil tindakan rawatan segera, ia akan menyebabkan kematian sekiranya jangkitan telah sampai ke otak.

“KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus berusaha dan memastikan tindakan pencegahan dan kawalan rabies dalam kalangan penduduk dilaksanakan, seperti rawatan kes, pemberian vaksin antirabies dan immunoglobulin kepada individu yang disyaki dijangkiti virus rabies berdasarkan penilaian risiko serta komunikasi risiko.

“Namun begitu kerjasama rakyat Sarawak agar mematuhi semua nasihat serta arahan yang dikeluarkan kerajaan dan pihak berkuasa diperlukam bagi memastikan wabak rabies di Sarawak ini dapat dibasmikan,” katanya.