800 kes Covid-19 sehari jika rakyat Kelantan masih degil

Orang ramai menunggu giliran untuk melakukan ujian saringan Covid-19 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Ahad.
Orang ramai menunggu giliran untuk melakukan ujian saringan Covid-19 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kes Covid-19 di Kelantan bakal cecah angka 700 hingga 800 kes sehari jika rakyat negeri ini masih bersikap degil dan enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, perkara itu tidak mustahil kerana kes harian masih mencatatkan lebih 600 kes dan kadar kebolehjangkitan (Rt) yang tinggi.

"Kita tidak nampak yang angka kes akan turun sehari dua ini.

"Ini kerana SOP kita gagal, baik peniaga, masjid, kedai, rakyat semua sekali; seolah-olah Covid-19 tidak wujud dan berjangkit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Darul Naim, di sini pada Isnin.

Menurutnya, paling menyedihkan apabila rakyat tidak mendengar pendapat ahli ulama, mufti dan pakar perubatan berkait dengan 'amaran' Covid-19.

Beliau berkata, sebaliknya orang ramai lebih 'selesa' mengikut pandangan sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu berkata, sebagai contoh apa yang berlaku di Kampung Pauh Lima di Bachok apabila nasihat tidak diendahkan oleh orang ramai supaya menghadkan penggunaan masjid.

Katanya, penduduk terus berkumpul dengan tidak ikut SOP dan akhirnya satu kampung positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga dengan apa yang berlaku di kawasan Kepulauan Tumpat, apabila ada pihak yang sanggup lari daripada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sebarkan virus itu, kesannya satu kampung dijangkiti," katanya.

Dr Izani berkata, kerajaan negeri merayu kepada rakyat Kelantan supaya patuh kepada SOP dengan mengamalkan kuarantin kendiri di rumah masing-masing dan hanya keluar apabila perlu sahaja.

Katanya, jika kuarantin kendiri terus diamalkan kelak jangkitan Covid-19 berjaya diturunkan.