Ceupacs jamin penjawat awam kekal produktiviti

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memberi jaminan produktiviti kerja membabitkan 750,000 penjawat awam di seluruh negara berada pada tahap terbaik walaupun pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR).

Presidennya, Adnan Mat berkata, sistem penyampaian akan terus berjalan seperti biasa bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat diberikan mengikut ketetapan setiap agensi kerajaan.

Beliau berkata, perkhidmatan juga akan terus beroperasi seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Justeru, rakyat tidak perlu bimbang urusan mereka akan tergendala berikutan arahan terbaharu oleh kerajaan ketika ini. Setiap jabatan kerajaan tidak pernah berhenti berfungsi atau lumpuh dalam menjalankan perkhidmatan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bermula Selasa, sebanyak 80 peratus penjawat awam dan 40 peratus kakitangan sektor swasta akan melaksanakan BDR seperti yang ditetapkan kerajaan melalui SOP baharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diperketatkan.

Arahan tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan pergerakan dan aktiviti rakyat di luar rumah, sekali gus mengekang penularan Covid-19 yang semakin meningkat.

Sementara itu, Adnan berkata, berikutan pelaksanaan SOP baharu itu, beliau berharap rakyat tidak meletakkan persepsi buruk terhadap penjawat awam.

Menurutnya, pelaksanaan BDR adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 - Dasar Bekerja Dari Rumah.

Artikel Berkaitan:

“Pekeliling ini akan memperincikan dengan lebih jelas mengenai aspek-aspek yang perlu dipatuhi setiap penjawat awam.

“Setelah lebih setahun negara melaksanakan PKP, Cuepacs yakin penjawat awam tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing melalui amalan BDR yang telah ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Malah BDR juga sudah menjadi amalan ketika PKP sebelum ini,” katanya.

Adnan bagaimanapun berharap agar semua penjawat awam seluruh negara dapat mematuhi segala arahan PKP dan peraturan semasa berkaitan BDR.

“Sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan BDR akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan semasa perkhidmatan awam.

“Penjawat awam tidak boleh berkompromi mengenai produktiviti masing-masing semasa BDR kerana kita adalah tulang belakang kepada pentadbiran negara,” katanya.