Jaring gesa Perak henti projek akuakultur hutan paya bakau

Kawasan bertanda merah yang didakwa oleh pihak Jaring merupakan kawasan aktiviti akuakultur di dalam hutan paya bakau berhampiran jeti nelayan Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, Kerian. Gambar kecil: Azrilnizam
Kawasan bertanda merah yang didakwa oleh pihak Jaring merupakan kawasan aktiviti akuakultur di dalam hutan paya bakau berhampiran jeti nelayan Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, Kerian. Gambar kecil: Azrilnizam
A
A
A

IPOH - Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) menggesa kerajaan negeri Perak menghentikan sebarang projek akuakultur di dalam kawasan hutan paya bakau.

Setiausaha Jaring, Azrilnizam Omar berkata, tindakan membenarkan aktiviti akuakultur khususnya bagi ternakan udang di dalam kolam akan memusnahkan hutan paya bakau.

Menurutnya, bukan itu sahaja, aktiviti tersebut juga turut akan memusnahkan kawasan pembiakan bagi hidupan laut seperti ikan, udang, ketam dan lain-lain.

"Kami menerima aduan berhubung cadangan aktiviti akuakultur iaitu kolam udang di dalam hutan paya bakau di atas tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) berkeluasan kira-kira 80 hektar di pesisir pantai berhampiran jeti nelayan Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, Kerian.

"Berdasarkan semakan pihak Jaring, kawasan tersebut tidak berada di dalam Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang diwartakan oleh kerajaan negeri malah bercanggah dengan Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 yang mana aktiviti akuakultur yang dibenarkan hanya melibatkan penternakan ikan dalam sangkar, ikan hiasan dan juga kerang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, kewujudan kolam udang menyebabkan seringkali berlaku pelepasan air sisa kolam ke laut dan sungai mengakibatkan hidupan laut di kawasan tersebut mati, menjejaskan hasil tangkapan serta kehidupan komuniti nelayan pantai.

Azrilnizam berkata, komuniti nelayan Kampung Sungai Bawah Betul juga telah mewujudkan tapak semaian bakau dengan kerjasama Jaring di lokasi yang berhampiran bagi mengaktifkan program-program penanaman semula pokok bakau untuk melindungi hutan paya bakau yang masih tersisa.

Jelasnya, tindakan PPPNP membenarkan kawasan tersebut dibangunkan untuk aktiviti akuakultur sangat tidak wajar dan dibantah oleh nelayan setempat.

Artikel Berkaitan:

"Kehidupan dan pendapatan komuniti nelayan pantai di sekitar Kampung Sungai Betul Bawah sudah cukup terjejas dengan pencemaran daripada aktiviti kolam udang yang sedia ada dan aktiviti pencerobohan oleh bot-bot pukat 'apollo' ke Zon A yang berleluasa.

"Sempena Hari Biodiversiti Antarabangsa 2021, Jaring menggesa Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria agar segera bertindak menangani isu tersebut," katanya.

Azrilnizam berkata, bagi tujuan tersebut, Jaring meminta semua aktiviti akuakultur di tanah milik SADC di berhampiran Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, Kerian itu dihentikan.

Katanya, bukan itu sahaja, kerajaan negeri juga perlu menghentikan dan tidak menyambung semula kelulusan aktiviti akuakultur di dalam kawasan hutan paya bakau di Perak serta mewartakan semua kawasan hutan paya bakau di pesisir pantai dan sungai sebagai kawasan hutan perlindungan.