X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

SKMM nafi arah polis rampas telefon bimbit Syed Saddiq

SKMM menafikan tuduhan Syed Saddiq berhubung arahan kepada pihak PDRM untuk merampas telefon mudah alih milik beliau.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak pernah mengeluarkan arahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya merampas telefon mudah alih milik Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM memaklumkan suruhanjaya itu selaku agensi teknikal dalam membantu siasatan PDRM tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk merampas bahan bukti yang diperlukan pihak berkuasa bagi melengkapkan siasatan mereka.

"Sebaliknya, SKMM akan terus mengemukakan bantuan dan syor teknikal, sesuai dengan keperluan siasatan, secara telus tanpa sebarang agenda terlindung termasuk agenda politik," demikian menurut kenyataan suruhanjaya itu pada Ahad.

Pada Sabtu, Syed Saddiq mempersoal tindakan polis yang merampas telefon bimbitnya ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa rampas telefon bimbit saya: Syed Saddiq

Polis rampas telefon Syed Saddiq untuk siasatan

Selain itu, SKMM juga menafikan wujudnya unit khas dalam suruhanjaya itu untuk tujuan politik, gangguan politik, kempen sabotaj dan lain-lain sepertimana yang didakwa oleh Syed Saddiq.

SKMM menegaskan ia berperanan untuk mengawal selia peraturan industri berdasarkan kuasa dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain organisasi SKMM dibentuk dan disusun sesuai dengan peranan kawal selia yang dilaksanakannya.

"Dalam hal ini, SKMM menjemput Syed Saddiq untuk hadir ke suruhanjaya dan kami bersedia memberikan penerangan penuh mengenai peranan dan carta organisasi yang juga boleh didapati dalam laman sesawang rasmi SKMM," tambah kenyataan tersebut. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!