Rakyat miskin berdepan masalah mental jika PKP penuh

Ismail Sabri Yaakub
Ismail Sabri Yaakub
A
A
A

SHAH ALAM – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 telah memberi kesan kepada masalah mental rakyat miskin sehingga membawa kepada peningkatan kes bunuh diri akibat masalah kewangan.

Menurut beliau, oleh itu kerajaan perlu memberi pertimbangan sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan PKP pada ketika ini tidak menyebabkan ada rakyat khususnya golongan miskin, terkesan serta menderita.

“Dari segi ekonomi negara, kerajaan kerugian keseluruhannya sebanyak RM2.4 bilion ketika PKP 1.0. Kita dah sebutkan bahawa peniaga kecil bergantung hidup dengan pendapatan harian.

“Jika kita tutup (semua), bermakna mereka tidak ada pekerjaan. Ini melibatkan masa depan terutama rakyat miskin.

“Waktu PKP 1.0 banyak kes melibatkan masalah mental, kes bunuh diri juga banyak berlaku cuma kita tidak hebohkan. Inilah yang kita mahu jaga supaya rakyat tak menderita walaupun kita mahu selamatkan nyawa,” katanya dalam Sidang Media Khas bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pada Sabtu.

Beliau mengulas mengenai keputusan kerajaan tidak melaksanakan PKP penuh meskipun terdapat tekanan dan gesaan daripada pelbagai pihak.

Kata beliau, meskipun PKP penuh tidak dilakukan melibatkan seluruh negara, kerajaan memastikan ia dilakukan melibatkan kawasan bersasar berdasarkan lokaliti tertentu yang dikenal pasti mempunyai risiko penularan Covid-19 yang tinggi.

“Kita laksanakan PKP Diperketatkan (PKPD) yang saya umumkan setiap hari dan kawasan-kawasan ini dikelilingi kawad besi, semua aktiviti tidak dibenarkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengakui PKP penuh dapat menurunkan kes dengan lebih cepat namun keadaan sama tetap berulang sekiranya SOP kembali dilonggarkan.

“Jika tiada kawalan kendiri, kes tetap akan meningkat semula. Jadi buka tutup (sektor) ini akan berterusan. Ini bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan tetapi tanggungjawab kita semua,” katanya.