Keperluan mendesak pesakit kritikal

Unit Rawatan Rapi Lapangan (Field ICU) yang dibangunkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Kepala Batas (HKB) dijangka beroperasi Isnin ini.
Unit Rawatan Rapi Lapangan (Field ICU) yang dibangunkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Kepala Batas (HKB) dijangka beroperasi Isnin ini.
A
A
A

KEPALA BATAS - Unit Rawatan Rapi Lapangan (Field ICU) yang dibangunkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Kepala Batas (HKB) dijangka beroperasi bermula Isnin ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan Field ICU di HKB Pulau Pinang bagi merawat pesakit kritikal.

Menurutnya, proses pembinaan Field ICU itu adalah sebagai persediaan bagi menampung kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang yang meningkat lebih 45 peratus untuk tempoh dua minggu kebelakangan ini.

“Field ICU itu akan menggunakan konsep modular yang mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan life support lain.

“Selain itu makmal modular dan unit radiologi modular turut didirikan bagi memberikan kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Difahamkan sebagai permulaan perkhidmatan Field ICU di Hospital Kepala Batas akan menempatkan seorang pakar anestesiologi dan rawatan rapi, dua orang pegawai perubatan dan 14 jururawat terlatih dalam rawatan rapi.

Kekuatan tenaga kerja daripada pelbagai kategori ini akan dipertingkatkan lagi mengikut keperluan dari masa ke masa.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada Selasa berkata, kerajaan negeri akan memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas pelaksanaan Field ICU itu dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mesyuarat telah diadakan oleh agensi berkaitan bagi membincangkan mengenai keperluan yang perlu disediakan untuk membina Field ICU terbabit.

“Apabila ia siap didirikan memerlukan bekalan elektrik, mekanikal, sivil dan peralatan perubatan berkaitan yang membabitkan kos RM2.038 juta.

“Kerajaan negeri akan memberi sokongan terbaik kepada ATM dan KKM untuk usaha ini dan jangka ia didirikan tidak lama lagi,” kata Kon Yeow pada sidang akhbar di KOMTAR di sini.

Field ICU yang menggunakan sistem hibrid ini merupakan kombinasi Modul Kontena dengan Kompleks Khemah Utilis yang dilengkapi dengan peralatan perubatan.

Selain pegawai dan anggota perubatan, atur gerak turut melibatkan 3 Modul ICU, 1 Modul X-Ray, 3 Khemah Utilis TM 54, 7 Khemah Utilis TM 36 dan aset-aset perubatan serta barangan logistik am yang diperlukan bagi pengoperasian Field ICU tersebut.