'Saya tidak sangka itu suami saya'

Anggota keluarga mangsa membuat pengecaman awal di lokasi kejadian.
Anggota keluarga mangsa membuat pengecaman awal di lokasi kejadian.
A
A
A

KOTA BHARU - "Saya tidak sangka itu suami saya, saya masih terkejut dengan apa yang berlaku," luah Faridah Husin, 49, isteri arwah Wan Hassan Wan Ali, mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Simpang Empat Kampung Sireh di sini petang Jumaat.

Faridah yang bekerja sebagai tukang jahit di Pasar Siti Khatijah di sini memberitahu, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang rakannya yang mengatakan ada kebakaran berlaku dua kilometer dari kediamannya.

Katanya, ketika itu dia masih belum mengetahui yang suaminya turut terlibat dalam kemalangan berkenaan dan maut di tempat kejadian.

"Pada mulanya anak kedua saya iaitu Wan Nor Adawiyah beritahu bapa mereka tidak terlibat dalam kejadian itu.

"Namun kali kedua pula saya dikejutkan apabila anak sulung saya, Wan Nor Hidayah pula beritahu yang bapa mereka terlibat dalam kemalangan tersebut kerana dia cam salah satu serpihan kenderaan yang ada di lokasi kejadian," katanya.

Keadaan kemalangan yang meragut nyawa mangsa.
Keadaan kemalangan yang meragut nyawa mangsa.

Dia berkata, suaminya yang berusia 49 tahun itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak kebelakangan ini, namun suaminya sering kali berulang alik setiap petang dari Kampung Sireh ke Kampung Kota kerana mereka akan berpindah tidak lama lagi.

Faridah yang kelihatan tenang dan reda tidak berganjak di lokasi kejadian sementara menunggu pihak polis dan bomba melakukan kerja-kerja siasatan dan membawa jenazah arwah ke hospital.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan tiga anak, dua perempuan serta seorang lelaki berumur antara 19 hingga 22 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, kereta bawa mercun meletup

Artikel Berkaitan: