‘Awak nak kahwin dengan suami saya?’ - Chinta Arjuna

Cinta Arjuna (kiri) menemani suami dan madu sewaktu hari pernikahan pada 28 Jun lalu.
Cinta Arjuna (kiri) menemani suami dan madu sewaktu hari pernikahan pada 28 Jun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bagi kebanyakan isteri sukar untuk menerima hakikat diri dimadukan, namun berbeza dengan seorang wanita berusia 37 tahun yang bertindak melamar isteri baharu buat suaminya.

Wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Chinta Arjuna berkata, dia memberi keizinan kepada suami untuk berkahwin lain pada tarikh ulang tahun perkahwinan mereka ke-10 yang juga ulang tahun kelahiran suaminya.

Dia berkata, walaupun sudah mendirikan rumah tangga selama sedekad dan masih belum dikurniakan zuriat, namun ia bukanlah alasan utama untuknya rela dimadukan.

Sebaliknya Chinta Arjuna menegaskan, dia benar-benar ikhlas untuk menerima wanita berstatus janda anak dua itu sebagai madu kerana mahu membantu 'memuliakan' dan menjaga maruahnya.

“Dia (madu) merupakan individu yang saya kenal kerana kami tinggal di kawasan perumahan sama. Semenjak dia bergelar janda, bermacam-macam fitnah dan tohmahan dilemparkan kepadanya.

“Jadi untuk menjaga maruah, saya sendiri bertanya sama ada awak nak tak berkahwin dengan suami saya?” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya lagi, pernikahan tersebut bukanlah atas dasar keinginan suaminya kerana dia sendiri yang melamar wanita berkenaan tanpa pengetahuan sesiapa.

Artikel Berkaitan:

Cinta Arjuna menyarungkan cincin pertunangan buat wanita yang berstatus janda anak dua pada 19 Mei lalu.
Cinta Arjuna menyarungkan cincin pertunangan buat wanita yang berstatus janda anak dua pada 19 Mei lalu.

“Alhamdulillah, ALLAH permudahkan niat saya untuk membantu dia (madu). Dia dan suami pun bersetuju untuk meneruskan kehidupan berpoligami.

“Pada tarikh 19 Mei lalu, saya telah menyarungkan cincin pertunangan pada jari manis si madu dan kami juga berbincang serta bersetuju untuk berkongsi tarikh perkahwinan sama iaitu pada 28 Jun yang mana ia merupakan hari ulang tahun suami,” ujarnya.

Pada masa sama, wanita berkenaan memberitahu bahawa dia reda dengan segala ketentuan Ilahi sekiranya perkahwinan yang dibina selama 10 tahun itu menemui titik noktah dengan penceraian.

Katanya, dia sentiasa berdoa agar keputusan dalam membenarkan suami untuk bernikah lain adalah yang terbaik kerana niat utama bukanlah kerana zuriat.

“Walaupun ada yang kata perbuatan ini gila kerana sanggup berkongsi kasih tetapi tidak bagi saya kerana ALLAH yang menggerakkan perasaan itu dan saya yakin itu merupakan satu keputusan tepat,” katanya.