Seorang maut, kereta bawa mercun meletup

Seorang maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Simpang Empat Kampung Sireh, pada Jumaat. - Foto Facebook pembaca
Seorang maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Simpang Empat Kampung Sireh, pada Jumaat. - Foto Facebook pembaca
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera setelah sebuah kenderaan dipercayai membawa mercun meletup di Simpang Empat Kampung Sireh di sini petang Jumaat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, dalam kejadian jam 5.38 petang itu, kenderaan yang dipercayai membawa mercun itu didakwa meletup dan menyebabkan kerosakan kepada lima buah kenderaan lain.

"Mangsa yang maut dipercayai tercampak sejauh 20 meter ke tepi jalan. Setakat ini empat cedera dan kesemua mereka masih mendapat rawatan di hospital.

"Kemalangan tersebut juga melibatkan kecederaan kepada seorang anggota polis yang kini turut dirawat di hospital yang sama," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.

Salah sebuah kenderaan yang terbakar dalam kejadian jam 5.38 petang Jumaat.
Salah sebuah kenderaan yang terbakar dalam kejadian jam 5.38 petang Jumaat.

Menurutnya, sehingga kini identiti mangsa yang maut masih belum boleh dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Berdasarkan maklumat awal, mangsa mungkin tinggal di kawasan berhampiran dengan lokasi kejadian.

"Pihak kami meminta mana-mana saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan manakala siasatan lanjut akan dilakukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kelihatan beberapa buah kenderaan yang terlibat terbakar dan musnah kesan daripada kebakaran yang berlaku.
Kelihatan beberapa buah kenderaan yang terlibat terbakar dan musnah kesan daripada kebakaran yang berlaku.

Dalam perkembangan yang sama, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Mohd Wildan Azhari ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.34 dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

"Ketika kerja-kerja pemadaman kereta yang sedang terbakar dan kami dikejutkan dengan letupan kenderaan sehingga memberi kesan kepada kawasan sekitar.

"Empat daripada enam kenderaan tersebut mengalami kerosakan yang kritikal dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan," katanya.