Guna air secara berhemah: SAJ Ranhill

Ahmad Faizal Abdul Rahman
A
A

JOHOR BAHRU - Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) menasihatkan pengguna di Johor berhemah menggunakan bekalan air ketika musim kemarau yang dijangka berlanjutan sehingga April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, langkah itu bagi menjamin bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan tanpa gangguan sambil pihaknya melakukan pemantauan di semua muka sauk bagi memastikan air berada pada paras yang mencukupi.

Menurutnya, meskipun sumber air mentah diterima di 44 loji rawatan adalah pada paras normal dan loji masih boleh beroperasi seperti biasa, namun ada beberapa muka sauk mengalami simptom penyusutan akibat cuaca kering sejak dua minggu lalu.

"Pengguna dinasihatkan sentiasa melakukan pemeriksaan terhadap sistem paip dalaman di rumah bagi mengelakkan sebarang kebocoran sebagai langkah-langkah penjimatan air.

"Elakkan aktiviti seperti membasuh kereta pada waktu siang kerana penyejatan lebih cepat berlaku pada waktu panas, penyiraman pokok bunga berlebihan dan gunakan penyapu untuk pembersihan halaman rumah berbanding menggunakan air," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, penjimatan air juga boleh dilakukan bagi kerja domestik seperti mencuci pakaian menggunakan mesin basuh hanya apabila muatan penuh dan penggunaan pancuran air berbanding tab ketika mandi.

Bagi pengguna yang memerlukan maklumat lanjut berkaitan bekalan air setempat boleh terus menghubungi SAJ Info Center menerusi Talian Mesra 1 800 88 7474 atau SMS 019 772 7474 atau menerusi emel [email protected] yang beroperasi 24 jam serta di laman sosial Facebook 'Setitis YANG Bermakna'.