Kadar inflasi meningkat, tertinggi sejak 2018

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia mencatatkan peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) sebanyak 4.7 peratus pada April tahun ini berbanding bulan sama tahun lalu dengan kadar inflasi tertinggi sejak 2018.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan trend tersebut dijangka akan berterusan sehingga suku tahun pertama 2022.

Menurutnya, peningkatan IHP secara keseluruhan didorong oleh kenaikan indeks pengangkutan sebanyak 27 peratus yang disebabkan kesan asas rendah pada tahun sebelumnya.

“Seperti yang sedia maklum, purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON95 menunjukkan peningkatan pada April 2021 iaitu RM2.05 per liter berbanding RM1.27 pada April 2020.

“Petrol Plumbum RON97 pula meningkat kepada RM2.55 per liter berbanding RM1.57 dan diesel meningkat kepada RM2.15 per liter daripada RM1.49,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain turut meningkat sebanyak 3.1 peratus pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Hal ini berikutan penamatan diskaun elektrik yang diberikan kepada pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bermula pada April 2020 hingga Disember 2020.

“Indeks makanan dan minuman bukan alkohol pula meningkat sebanyak 1.9 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya disebabkan kekurangan bekalan, permintaan yang lebih tinggi dan ketidaktentuan cuaca,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata, walaupun indeks keseluruhan meningkat tetapi indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal meningkat sebanyak 0.7 peratus pada April 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“IHP tanpa bahan api meningkat sebanyak 1.7 peratus pada April 2021 kepada 113.8 berbanding 111.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perbandingan bulanan IHP turut meningkat sebanyak 0.2 peratus berbanding Mac 2021.

“Daripada 552 item yang diliputi dalam IHP, 366 item menunjukkan peningkatan pada April 2021. Sebaliknya, 116 item mencatatkan penurunan, manakala 70 item tidak berubah.

“Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barang tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu sebanyak 230 item, 49 item menurun dan 17 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barang semi tahan lama dan barang tahan lama,” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, enam negeri iaitu Terengganu (6.3 peratus), Kelantan (5.7 peratus), Pahang (5.6 peratus), Kedah dan Perlis (5.1 peratus), Negeri Sembilan (5 peratus) serta Johor (4.9 peratus) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 4.7 peratus pada April 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

“Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pahang sebanyak 3 peratus, diikuti oleh Terengganu (2.8 peratus), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.6 peratus), Kelantan (2.6 pertatus) serta Johor (2.1 peratus),” jelasnya.