X

Kindly register in order to view this article
!

Sambutan Hari Gawai hanya sehari

Hari Gawai yang diraikan kaum Dayak di Sarawak hanya dihadkan untuk sehari sahaja iaitu pada 1 Jun dengan aktiviti ziarah tidak dibenarkan. Gambar: Sumber Internet
A
A

KUCHING - Hari Gawai yang diraikan kaum Dayak di Sarawak hanya dihadkan untuk sehari sahaja iaitu pada 1 Jun dengan aktiviti ziarah tidak dibenarkan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan pada Jumaat berkata, ekoran situasi semasa Covid-19 dan dengan persetujuan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) Jabatan Ketua Menteri, sambutan tahun ini hanya dibenarkan bersama keluarga serumah atau terhad kepada keluarga ‘sebilik’ jika disambut di rumah panjang.

Bagi ‘Miring’ yang merupakan upacara tradisional bagi memohon keberkatan dan perlindungan yang biasa diadakan semasa perayaan itu, ia dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sahaja.

Upacara ini hanya boleh diadakan di suatu tempat atau ‘ruai’ yang ditetapkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan kehadiran maksimum 20 orang termasuk pengurus dan pengendali upacara sahaja, namun tidak dibenarkan bagi mereka yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Antara aktiviti yang tidak dibenarkan ialah pulang ke kampung dengan merentas zon, majlis perkahwinan, majlis pertunangan, majlis kesyukuran, ritual memandikan anak di sungai, sabung ayam, sukaneka dan lain-lain aktiviti sosial,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, bagi sambutan Hari Wesak pada 26 Mei ini, kuil di Sarawak dibenarkan beroperasi selama sejam bermula 8 pagi hingga 9 pagi dengan kehadiran hanya kepada ahli jawatankuasa kuil dan ahli Sangha (sami, biarawati, penganut) dengan jumlah maksimum 20 orang.

“Kecuali zon Kuching yang merangkumi bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, kuil dibenarkan beroperasi selama empat jam bermula 8 pagi hingga 2 petang dengan kehadiran maksimum 50 orang bagi kuil yang boleh memuatkan sehingga 1,000 orang, manakala 20 orang bagi kapasiti kuil yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 orang,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, upacara memandikan patung Buddha adalah tidak dibenarkan selain setiap kuil perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan antaranya menyediakan sekurang-kurangnya dua anggota Rela bagi memantau pematuhan SOP di kuil berkenaan.

Pengoperasian kuil adalah tidak dibenarkan di kawasan PKPD semasa perayaan itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!