RM6.4 juta tingkat kecekapan pengurusan sisa pepejal Sabak Bernam - Ramli

Ramli (enam dari kiri) dan Awaluddin (lapan dari kanan) semasa Program Penyerahan Lori Kompaktor dan Armroll KDEBWM di Stadium Sungai Besar pada Isnin.
Ramli (enam dari kiri) dan Awaluddin (lapan dari kanan) semasa Program Penyerahan Lori Kompaktor dan Armroll KDEBWM di Stadium Sungai Besar pada Isnin.
A
A
A

SABAK BERNAM – KDEB Waste Management (KDEBWM) memperuntukkan kira-kira RM6.4 juta bagi pembelian 19 lori baharu sebagai langkah memperkukuh perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di daerah Sabak Bernam, sekali gus memastikan kutipan sampah dilaksanakan dengan lebih cekap dan mengikut jadual ditetapkan.

Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, penyerahan lori baharu itu bersempena fasa kedua lanjutan kontrak selama tujuh tahun bersama Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) selepas tamat tempoh kontrak pertama.

Menurutnya, melalui fasa kedua itu, KDEBWM turut melaksanakan penambahbaikan termasuk pertambahan zon operasi daripada 16 kepada 19 zon di daerah berkenaan.

"Langkah ini penting bagi memastikan pengurusan sisa pepejal melibatkan hampir 120,000 penduduk dan kira-kira 50,000 premis di Sabak Bernam dapat dilaksanakan dengan lebih teratur serta berkesan," katanya ketika ditemui selepas Program Penyerahan Lori Kompaktor dan Armroll KDEBWM di Stadium Sungai Besar, di sini, pada Isnin.

Ramli berkata, KDEBWM sentiasa berusaha menyelesaikan isu berkaitan pengurusan sampah secara menyeluruh dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), ahli majlis, wakil rakyat dan penduduk setempat.

Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan aduan berkaitan kebersihan menerusi aplikasi iClean dan pelbagai platform disediakan termasuk Facebook, WhatsApp serta Instagram dengan menyertakan gambar dan lokasi bagi membolehkan tindakan segera diambil.

"Kami akan semak setiap aduan yang diterima dan menyelesaikannya segera bagi memastikan Selangor sentiasa bersih, khususnya di Sabak Bernam yang juga merupakan kawasan pelancongan dan pembekal bahan makanan negara," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ramli memaklumkan MDSB menjadi PBT ke-10 yang menyambung semula kontrak bagi kitaran kedua bersama KDEBWM, dengan dua lagi PBT dijadualkan menyusul dalam masa terdekat.

"Sebagai anak syarikat kerajaan negeri, KDEBWM akan terus memberikan perkhidmatan sama berkualiti tanpa mengira status PBT sama ada bandar raya, perbandaran atau majlis daerah demi memastikan pembayar cukai menerima perkhidmatan terbaik," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yang Dipertua MDSB, Awaluddin Zakaria berkata, penerimaan aset dan kontrak baharu menerusi fasa lanjutan itu wajar disusuli dengan penambahbaikan perkhidmatan, khususnya melibatkan kerja-kerja pembersihan longkang yang dikenal pasti antara isu perlu diberi perhatian.

"KDEBWM selama ini sudah memberikan perkhidmatan yang baik, namun dengan aset dan kontraktor baharu, saya yakin perkhidmatan itu boleh dipertingkatkan lagi dalam tempoh tujuh tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata, meskipun Sabak Bernam merupakan kawasan luar bandar dan sebuah majlis daerah, pihaknya mempunyai aspirasi tinggi untuk memastikan kawasan kampung sentiasa bersih serta terpelihara, selari dengan peningkatan kehadiran pelancong.

Menurutnya, daerah itu memiliki kira-kira 140 inap desa berdaftar selain beberapa kawasan tarikan pelancongan, justeru tahap kebersihan yang baik menjadi faktor utama bagi menarik kunjungan berterusan.

"Pelancong tidak akan datang jika kawasan kita kotor dan oleh sebab itu perkhidmatan pengurusan sampah perlu dipertingkatkan dan diperkasakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak termasuk penduduk, komuniti setempat, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat supaya berganding bahu bersama KDEBWM dan pihak majlis dalam menjaga kebersihan kawasan masing-masing.

"Tanggungjawab kebersihan bukan hanya terletak kepada majlis atau KDEBWM semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan sebagai tanggungjawab bersama komuniti," katanya.

Ringkasan AI

  • KDEB Waste Management peruntukkan RM6.4 juta untuk 19 lori baharu di Sabak Bernam
  • Penyerahan lori baharu bertujuan tingkatkan kecekapan kutipan sampah
  • Fasa kedua kontrak menyaksikan penambahbaikan operasi termasuk pertambahan zon daripada 16 kepada 19
  • Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat untuk menangani isu pengurusan sampah
  • Galakkan aduan berkaitan kebersihan melalui aplikasi iClean dan platform media sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!