Selagi PSM masih bernafas...

Ahmad Ismail
Ahmad Ismail
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail tidak akan menghalang sekiranya masih terdapat ahli gabungan yang mahu keluar daripada badan induk itu untuk menubuhkan 'pakatan baharu'.

Namun, Ahmad menitipkan nasihat kepada setiap ahli gabungan PSM untuk memperhalusi serta menilai kembali kesan negatif ekoran tindakan masing-masing demi survival persatuan sepak takraw tertua di dunia itu.

“Jangan lupa tanpa PSM, persatuan sepak takraw yang mula ditubuhkan di dunia ini tidak akan tertubuhnya dua entiti yakni Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

“Seperkara lagi, mereka (ISTAF dan ASTAF) kena ingat bahawa selagi PSM masih bernafas, Pesuruhjaya Sukan (PJS) tidak akan menubuhkan satu lagi badan sukan sepak takraw dalam negara ini.

“Jika tertubuhnya gabungan baharu itu sekalipun yang kononnya untuk menggantikan PSM, ia bermakna persatuan sepak takraw kita akan menjadi yang termuda pada waktu ini dan terpaksa bermula semula daripada bawah.

“Kita akan menjadi umpama adik bongsu kepada banyak persatuan sepak takraw lain termasuklah Hong Kong, Macau dan beberapa negara lain sedangkan yang sebenarnya Malaysia adalah 'abang sulung' sepak takraw.

“Paling penting bagaimana kita hendak claim dan buktikan suatu hari nanti kepada anak cucu kita bahawa sukan sepak takraw telah bermula dari Malaysia? Cuba kita kaji, renungkan kembali segala bentuk tindakan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Khamis.

Ketika ini, Ahmad menerima tekanan hebat daripada ahli gabungan PSM apabila lima persatuan sepak takraw di peringkat negeri mengumumkan keluar daripada naungan badan induk berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Terbaharu, Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap) menjadi ahli gabungan keenam yang keluar daripada PSM selepas memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan badan induk sepak takraw negara itu.

Sebelum itu, Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSNJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) terlebih dulu berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, beliau sedia menghadapi sebarang kemungkinan demi menyelamatkan PSM yang ditubuhkan di Pulau Pinang pada 25 Jun 1960.

“Saya sanggup melakukan apa sahaja seperti bercuti sekalipun meletakkan jawatan demi untuk menjaga maruah dan reputasi PSM... persatuan yang menjadi kebanggaan arena sepak takraw negara.

“Insya-ALLAH minggu depan saya akan buat satu sidang media bagi mengumumkan perkara itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh menegaskan pihaknya tidak menerima dokumen yang dimohon dari Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) untuk prosiding tatatertib dikenakan terhadap badan induk sepak takraw negara tersebut pada Khamis.

"Tanpa dokumen tersebut, PSM tidak akan berdaya menyediakan hujah bagi kita 'defend' PSM. PSM setelah berbincang dengan peguam dan atas nasihat peguam, PSM tak perlu hadir sesi pendengaran kerana ianya boleh menyebabkan wakil kita dipersendakan dan boleh mencalar reputasi PSM.

"Sepertimana yang kita semua sedia maklumi bahawa PSM tidak tahu menahu dalam isu ini," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

ASTAF sebelum ini melalui jawatankuasa eksekutifnya memilih untuk meneruskan prosiding tatatertib terhadap PSM kerana didakwa melanggar perjanjian.