Zahid tak mengaku pertuduhan tambahan

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) didakwa sekali lagi atas pertuduhan tambahan pecah amanah berjumlah RM260,000 milik Yayasan Akalbudi, tiga tahun lepas.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi. - Foto Bernama
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) didakwa sekali lagi atas pertuduhan tambahan pecah amanah berjumlah RM260,000 milik Yayasan Akalbudi, tiga tahun lepas.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan baharu iaitu melakukan pecah amanah wang milik Yayasan AkalBudi sebanyak RM260,000.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu membuat pengakuan tersebut dihadapan hakim Azura Alwi.

Susulan satu pertuduhan tambahan itu, Ahmad Zahid, 66, berdepan keseluruhan 47 pertuduhan.

Sementara itu mengikut pertuduhan baharu itu, Ahmad Zahid sebagai pemegang amanah dana yayasan berkenaan didakwa pecah amanah wang RM260,000 dengan membuat bayaran kepada syarikat TS Consultancy & Resources.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad Cawangan Jalan Bunus off Jalan Masjid India di sini pada 23 Disember 2016.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid batal hasrat tunai umrah

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi berkata pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan tambahan kepada Ahmad Zahid kerana mengguna pakai jaminan terdahulu yang dikenakan.

Beliau turut memaklumkan mahkamah, pihaknya telah menyerahkan dua set dokumen melibatkan pertuduhan itu kepada pihak pembelaan.

Artikel Berkaitan:

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid mengesahkan telah menerima dokumen-dokumen berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Februari untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, pada 19 Oktober dan 14 Disember tahun lepas, Zahid mengaku tidak bersalah atas 46 pertuduhan iaitu 11 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan yayasan berkenaan.

Beliau dibebaskan dengan jaminan RM2 juta bagi kesemua pertuduhan itu selain pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid didakwa pertuduhan baharu