Kelantan cadang PKPD di Limbat, Pasir Tumboh

Dr Zaini Husin
Dr Zaini Husin
A
A
A

KOTA BHARU - Limbat, Pasir Tumboh berkemungkinan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan berlaku peningkatan kes jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin berkata, kerajaan negeri telah mencadangkan perkara tersebut untuk diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut beliau, kawasan itu akan menjadi PKPD ketiga di negeri ini selepas kawasan Mukim Bunut Susu dan Pauh Lima di Bachok yang baru dilaksanakan pada bulan ini.

“Cadangan PKPD tersebut adalah disebabkan oleh peningkatan kes jangkitan, jadi kita bincang dengan kerajaan negeri untuk bawa kepada MKN untuk diteliti dan diputuskan,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau ditemui ketika hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob di Kompleks Kota Darulnaim di sini.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, penduduk di kawasan berkenaan adalah seramai 1,372 orang melibatkan 973 buah rumah dan sehingga kini, seramai 154 penduduk telah disaring.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut, 48 kes adalah positif dan kadar positif pandemik itu adalah sebanyak 31.2 peratus.

“Pelaksanaan PKPD adalah satu langkah yang perlu kita lakukan secepat mungkin untuk menyaring penduduk sekali gus menyekat rantaian dengan cepat dan meluas.

Artikel Berkaitan:

“Kes ini bermula pada 27 April dan disebabkan berlakunya peningkatan jangkitan kita keluarkan cadangan PKPD ini,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain ketika ditanya mengenai kemudahan katil yang disediakan untuk pesakit Covid-19 di negeri ini, Zaini berkata, ia berada di tahap kritikal iaitu melibatkan penggunaan 70 sehingga 80 peratus.

Namun katanya, melihat kepada jumlah kes harian bermula dari 300 hingga 400 kes dan jumlah sembuh juga agak tinggi, maka wujud kestabilan melibatkan penggunaan katil berkenaan.

“Kita lihat ada keseimbangan, jadi kita masih boleh bertahan lagi buat masa kini. Cuma kalau jumlah tersebut meningkat kepada 500 hingga 600 kes, barulah kita akan buka Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) baharu.

“Setakat hari ini (Khamis), ada 10 PKRC termasuk yang baharu di Gelanggang Seni. Sekiranya perlu, kita akan buka di daerah lain. Kita mahu kurangkan kuarantin di rumah,” katanya.