Jamu air ketum ketika anjur rumah terbuka

No Image Caption
A
A
A

BACHOK - Polis menahan tujuh lelaki yang sedang lalok selepas minum air ketum di sebuah rumah di Kampung Tempoyak di Kadok di sini pada Isnin.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, kesemua suspek yang berusia 20-an ditahan dalam sebuah majlis rumah terbuka yang dianjurkan salah seorang daripada mereka.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis menyerbu rumah terbabit selepas mendapat maklumat awam.

Menurutnya, ketika serbuan semua lelaki terbabit dalam keadaan khayal selepas berpesta minum air ketum.

"Kesemua mereka dikenakan kompaun RM5,000 seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan berkumpul beramai-ramai,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua suspek turut ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Akta Racun 1952.

“Orang beraya makan kuih raya, namun mereka buat ‘open house’ jamu air ketum.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tetap patuh SOP (prosedur operasi standard) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Shafien sempat mengadakan lawatan di Kampung Pauh Lima yang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 19 Mei sehingga 1 Jun ini.