Kerajaan disaran tubuh suruhanjaya khusus kelola kutipan dana

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Persatuan Profesional Kewangan Muslim Malaysia (MFP) pada Selasa menyarankan agar kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya khusus bagi mengelola institusi yang membuat kutipan dana awam.

Presidennya, Ahmad Nizam Samsudin berkata, penubuhan itu supaya organisasi terlibat mempunyai piawaian pengurusan dana, selaras dan mempunyai kredibiliti.

“Baru-baru ini terdapat pihak yang mempersoalkan tadbir urus dan akauntabiliti pengurusan dana institusi yang membuat kutipan dana awam terutama bagi sumbangan kepada rakyat Palestin.

“Kebimbangan berlakunya ketirisan dan salah guna dana melalui mana-mana institusi adalah sesuatu yang berasas dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan isu amanah, integriti dan pematuhan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ahmad Nizam, masyarakat juga disaran untuk mengambil beberapa langkah bagi membasmi kegiatan mengutip wang secara haram dan salah laku dalam pengurusan kutipan dana awam.

“Pertamanya, menyumbang kepada badan yang berdaftar dan telus dalam pengurusan dana dan kedua, meningkatkan herdikan sosial dalam memastikan badan yang membuat kutipan dana awam ini sentiasa melaksanakan tadbir urus baik,” katanya.

Beliau turut menggariskan beberapa saranan terhadap institusi yang terlibat dalam kutipan dana awam antaranya dengan mendaftarkan institusi dengan pihak berwajib seperti Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Selain itu, Ahmad Nizam berkata, institusi yang terlibat juga disaran melantik ahli lembaga pemegang amanah yang berkelayakan, mempunyai rekod prestasi yang baik dan tiada rekod salah laku.

Artikel Berkaitan:

“Sentiasa memastikan pematuhan akta yang berkaitan termasuk penghantaran laporan tahunan dan keperluan-keperluan lain menurut akta.

“Memastikan penyimpanan dan pengurusan dokumen yang kemas serta boleh diakses dengan mudah untuk tujuan audit atau semakan pihak berwajib,” katanya.

Beliau berkata, antara saranan lain adalah memastikan laporan kewangan sentiasa dikemaskini dan dilaporkan mengikut piawaian pelaporan perakaunan yang diterima di Malaysia dan antarabangsa.

“Memastikan penyaluran dana dibuat terus kepada penerima yang layak atau melalui badan yang boleh dipercayai serta bertanggungjawab mengikut tujuan kutipan dibuat.

“Mempunyai perancangan dan polisi kewangan yang rapi bagi memastikan penggunaan sumber secara maksima dan sewajarnya,” jelasnya.

Tambahnya, dengan amalan tadbir urus yang baik akan memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kepada semua pihak terutama golongan yang sewajarnya menerima dana berkenaan.