Najib harap keadilan untuk bersihkan nama

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengharapkan keadilan demi membersihkan namanya daripada sabitan kes pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan dana SRC International berjumlah RM42 juta tahun lalu.

Sejurus selesai prosiding di Mahkamah Rayuan di sini, Najib, 68, berkata, tempoh ini akan mengujinya dan keluarga.

"Saya berdoa, Insya-ALLAH apa yang kita harapkan (keadilan) itu akan menjadi kenyataan," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut mengucapkan terima kasih kepada pihak media di sepanjang prosiding ini berlangsung.

Mudah-mudahan katanya, maklumat yang disampaikan adalah tepat kerana ia amat penting bagi rakyat untuk mengetahui perkara yang sebenar.

Pada Selasa, prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan di sini yang berlangsung selama 15 hari bagi kes pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan dana SRC International berjumlah RM42 juta terhadapnya selesai.

Bagaimanapun, panel hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memaklumkan tarikh keputusan bagi rayuan itu akan diberitahu kemudian.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi Najib hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, pecah amanah dan pengubahan wang haram serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun berikutan hakim memerintahkan kesemua hukuman tersebut berjalan serentak.

Najib, 68, pada masa ini bebas dengan ikat jamin RM2 juta serta dua penjamin sementara menunggu kes rayuan itu selesai.

Dua hari kemudian, Najib memfailkan notis rayuan di sini terhadap sabitan dan hukuman tersebut.

Prosiding yang bermula 5 April lalu berakhir pada Selasa selepas semua pihak membuat hujahan akhir di hadapan tiga panel hakim.

Ini merupakan percubaan pertama Najib dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu mensabitkan bekas Perdana Menteri itu bersalah atas tujuh pertuduhan berkenaan.