Sempat beri bantuan CPR sebelum meninggal dunia

Wan Norashikin (dua dari kiri) bersama anak bongsunya ketika ditemui di kediamannya di Sunway City Ipoh, Tambun, Ipoh pada Isnin.
Wan Norashikin (dua dari kiri) bersama anak bongsunya ketika ditemui di kediamannya di Sunway City Ipoh, Tambun, Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin sempat memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada suaminya sebelum meninggal dunia di kediaman mereka di Sunway City Ipoh, Tambun di sini pada Isnin.

Beliau berkata, usaha itu dilakukan dengan bantuan seorang doktor yang juga jirannya selepas melihat suaminya, Edi Razman Mohd Ismail, 53, dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang kerja tingkat atas rumah sekitar jam 5.45 pagi.

Edi Rahman bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 pagi Isnin dipercayai akibat serangan jantung.

"Kami berdua buat CPR sementara menunggu bantuan paramedik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh sampai pada jam 6 pagi. Kemudian mereka pula sambung lakukan CPR.

"Sehinggalah sekitar jam 6.30 pagi, mereka memaklumkan yang suami saya telah tiada," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini pada Isnin.

Wan Norashikin berkata, sebelum kejadian, Allahyarham berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang tanda-tanda sakit.

Wan Norashikin ketika ditemui pemberita di kediamannya, pada Isnin.
Wan Norashikin ketika ditemui pemberita di kediamannya, pada Isnin.

"Biasanya arwah akan bangun awal sekitar jam 5.30 pagi. Saya sempat bertanyakan keadaannya, tapi dia kata dia baik-baik sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Sehinggalah anak saya memaklumkan sesuatu terjadi kepada arwah. Saya nampak mulutnya berbuih sedikit dan dari situ saya sudah agak arwah mungkin kena serangan jantung.

"Suami saya memang ada sejarah penyakit tiga serangkai (jantung, darah tinggi dan kencing manis)," katanya.

Wan Norashikin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah berkata, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu walaupun masih terkejut pemergian Allahyarham yang secara tiba-tiba.

"Arwah sepatutnya ada temu janji bersama pakar kardiologi pada hari ini (Isnin)," ujarnya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun di sini selepas solat Zohor pada Isnin.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan seorang anak perempuan berusia 21 tahun yang kini belajar di United Kingdom serta dua anak lelaki masing-masing berusia 19 dan 12 tahun.

Allahyarham yang merupakan bekas peguam adalah anak kepada bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ainon Khariyah Mohd Abas.

ARTIKEL BERKAITAN:Suami ADUN Kampung Gajah meninggal dunia