Ibu mengandung, menyusu boleh terima Comirnaty

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Ibu mengandung dan menyusukan bayi hanya boleh menerima suntikan vaksin Covid-19, Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu berdasarkan syor yang dibuat oleh pakar.

Menurutnya, suntikan itu boleh diterima ketika usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu.

"Sekiranya kandungan melebihi tempoh tersebut, suntikan vaksin Covid-19 perlu ditangguhkan sehingga ibu berkenaan melahirkan bayi.

"Bagaimanapun, vaksin keluaran Sinovac dan AstraZeneca tidak disarankan untuk golongan ini buat masa sekarang," katanya pada sidang akhbar perkembangan PICK yang diadakan secara maya.

Turut sama, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) telah diarahkan menyelaraskan kemudahan supaya ibu hamil diberikan keutamaan.

"Sekiranya ada keraguan, mereka boleh mendapatkan pandangan dan nasihat pakar perubatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin sebelum ini menggesa kerajaan memberi perhatian kepada wanita mengandung dalam pemberian vaksin Covid-19.

Bee Yin yang kini mengandung 17 minggu telah menerima suntikan vaksin pada 12 Mei lalu selepas tersenarai dalam Fasa Pertama PICK bersama ahli Parlimen yang lain.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, kilang Pharmaniaga menjadi projek rintis pusat pemberian vaksin (PPV) kepada sektor industri.

"Pharmaniaga telah membeli vaksin untuk diberikan kepada pekerja merekadan menjadi projek rintis dalam PPV sektor industri.

"Kilang Pharmaniaga sedang melakukan 'full and finish' vaksin Sinovac. Jadi kita tidak mahu ada berlaku jangkitan di situ," katanya.

Pulau Pinang sebelum ini beberapa kali telah mendesak kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin terhadap sektor industri di negeri itu.