Juruteknik melecur muka, mesin dibaiki meletup

Keadaan mesin pendandang yang meletup dan terbakar di sebuah kilang kuari batu di Batu 3, Temoh pada Isnin.
Keadaan mesin pendandang yang meletup dan terbakar di sebuah kilang kuari batu di Batu 3, Temoh pada Isnin.
A
A
A

TAPAH - Tiga juruteknik sebuah kilang kuari batu di Batu 3 Temoh, di sini melecur di muka selepas berlaku letupan dan kebakaran di satu mesin pendandang (boiler), pada pagi Isnin.

Kejadian sekitar jam 10.45 pagi itu berlaku ketika ketiga-tiga lelaki berusia 30, 41, dan 44 tahun terbabit sedang membaiki kerosakan pada mesin berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Abd Rahman Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 10.56 pagi.

Menurutnya, laporan awal memaklumkan, ketika kerja pembaikan dilakukan, berlaku letupan pada mesin itu hingga mengakibatkan kebakaran.

"Letupan mesin boiler itu menyebabkan penutup mesin berkenaan terbuka dan mencederakan tiga mangsa yang berada di situ.

"Kesemua mereka mengalami lecur pada bahagian muka," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Anggota bomba melakukan pemantauan di kawasan kejadian bagi memastikan api padam sepenuhnya.
Anggota bomba melakukan pemantauan di kawasan kejadian bagi memastikan api padam sepenuhnya.

Beliau berkata, kebakaran yang berlaku berjaya dipadamkan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) kilang berkenaan menggunakan alat pemadam api dan dua aliran hose reel sebelum ketibaan bomba.

Artikel Berkaitan:

Katanya, anggota yang tiba kemudian melakukan pemantauan di keseluruhan kawasan bagi memastikan api padam sepenuhnya.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.50 pagi," katanya.