X

Kindly register in order to view this article
!

Membentuk watak yang luhur

A
A
KEHIDUPAN harian arus perdana masa kini jelas banyak tertumpu kepada persaingan yang boleh dilihat berlaku sama sahaja, sama ada dalam bidang perdagangan, pekerjaan, politik, malah juga dalam pembelajaran dan pengajaran.

Perkembangan Industri Revolusi 4.0 telah mengaburi jurang tipis antara teknologi dan masyarakat serta membawa kepada penggabungan kedua-duanya demi mewujudkan kehidupan yang lebih tersusun dan teratur.

Hasil ciptaan Industri Revolusi 4.0 telah banyak mengubah aktiviti harian masyarakat dengan mengolah keperluan kemahiran dan kompetensi sedia ada. Selain itu, pandemik Covid-19 yang menggegarkan dunia juga menyumbang kepada 'gangguan berganda’ ekonomi dan transformasi bidang automasi.

Menurut World Economic Forum’s Future of Jobs Report 2020, sebanyak 50 peratus tenaga kerja dunia akan memerlukan pemantapan kemahiran menjelang 2025 seiring dengan peningkatan kemajuan teknologi terkini.

Malah, menurut laporan tersebut, kemahiran yang dianggap sangat penting adalah pemikiran kritikal, penyelesaian masalah, pembelajaran aktif dan fleksibiliti. Disebabkan perubahan dan keperluan itu, pihak industri dan universiti telah berganding bahu serta bertekad untuk mengemas kini modul pembelajaran sebagai langkah menyediakan siswazah yang bakal mengharungi dunia serba dinamik.

Pihak universiti ingin membantu siswazah supaya dapat berhadapan dengan arus cabaran masa akan datang yang dijangka bakal menitikberatkan kemahiran 'universal’ teknikal dan taktikal yang menyeluruh. Kemahiran universal itu sepatutnya memudahkan mereka bertindak tangkas dan menyesuaikan diri dengan peralihan keperluan industri. Dari sudut pandangan industri, kemahiran itu juga membawa kepada pulangan pelaburan terhadap produktiviti tenaga kerja.

Persoalannya, adakah tumpuan kepada kemahiran taktikal dan teknikal dapat membantu siswazah, masyarakat serta industri merancakkan ekonomi, mengurangkan kos sara hidup dan melahirkan masyarakat yang berintegriti?

Menurut Indeks Persepsi Rasuah, Malaysia di tangga ke-57 tahun lalu. Ia bermaksud rasuah masih berleluasa di Malaysia dan berada di tahap tinggi.

Rasuah berkait rapat dengan pertumbuhan ekonomi kerana mampu mengancam pembangunan, demokrasi dan kestabilan negara. Korupsi dan rasuah membawa kesan buruk kepada pasaran, mengekang pertumbuhan ekonomi dan menjauhkan pelaburan asing. Jadi, bagaimana gejala itu dapat dibanteras?

Bagi melahirkan siswazah dan masyarakat yang berintegriti serta bebas korupsi, universiti harus memainkan peranan bukan sahaja sebagai tempat menimba ilmu tetapi juga tempat penuntut memperkemaskan keperibadian diri dan tadbir urus insan.

Langkah pertama yang disarankan adalah untuk pihak universiti mengintegrasikan tadbir urus insan sebagai se-buah subjek yang diwajib diambil. Falsafah tadbir urus insan melibatkan pemahaman asal usul kejadian dan peranan manusia di alam ini. Untuk memahami urus tadbir insan dengan baik, pemahaman tentang sains fizik kuantum perlu dititikberat dan diterapkan.

Jika disingkap semula kisah pelantikan imam di Turki pada zaman dahulu kala, mereka diwajibkan untuk menguasai bidang astronomi dan kalkulus, selain d pendidikan terjemahan al-Quran dan hadis. Dengan mengintegrasikan pendidikan sains alam dalam pembelajaran, pengetahuan tentang kebesaran pencipta dan kerdilnya manusia dapat dipupuk dalam diri, maka terbentuklah watak keperibadian yang luhur.

Pendidikan tadbir urus insan memberikan penekanan kepada perlembagaan dalaman diri, yang mana peranan utama kita adalah sebagai hamba Sang Pencipta dan manusia merupakan makhluk rohani yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan sesama manusia serta alam.

Untuk mencapai keperibadian luhur, seseorang itu haruslah memahami peranan kalbu, roh, jiwa dan akal kerana di sinilah pembentukan keperibadian beretika dibentuk. Latih diri untuk amalkan tadbir urus diri sebagai kompas moral untuk melindungi diri daripada korupsi.

* Ainul Mohsein Abdul Mohsin ialah Pensyarah Kanan di Universiti Sains Malaysia


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!