Torres mampu lebih menyengat

Torres (kiri) meraikan gol keempat Manchester City ketika menentang Newcastle United di St James’ Park.
Torres (kiri) meraikan gol keempat Manchester City ketika menentang Newcastle United di St James’ Park.
A
A
A

PEP Guardiola percaya Ferran Torres mampu menyerlahkan potensinya selepas mencetak hatrik ketika membantu Manchester City menang tipis 4-3 ke atas Newcastle United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St James’ Park.

Menurut Guardiola, pemain berusia 21 tahun itu tiba dari kelab LaLiga, Valencia dengan status pemain sayap, namun diletakkan di posisi tengah pada musim ini.

“Ini musim pertamanya di pentas Liga Perdana Inggeris, namun jumlah jaringannya semakin meningkat dalam penampilan bersama kelab ini.

“Saya bercadang meletakkannya di posisi penyerang. Dia mungkin menjadi pemain nombor sembilan Manchester City. Apapun dengan prestasinya pada masa ini dia adalah alternatif terbaharu kelab.

“Torres mempunyai naluri penyerang apabila berada di kedudukan terbaik sebelum bola tiba. Dia mempunyai bakat dan penyudah yang baik,” katanya.

Torres kini meledak 13 gol musim ini termasuk tiga jaringan hatrik ke atas The Magpies melebarkan lagi kedudukan mata pendahulu liga tersebut.

Ditanya sama ada impak positif Torres memungkinkan The Citizens tidak perlu mencari penganti Sergio Aguero, bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu berkata: “Manchester City berkemungkinan akan membeli penyerang baharu atau sebaliknya. Tapi pada masa ini saya boleh katakan City memiliki seorang penyerang muda yang boleh diletakkan pada sayap kanan, kiri selain menjadi penyerang.”

Pada aksi tersebut, Manchester City bangkit dua kali ketinggalan untuk kemenangan ke-26 liga selepas dinobatkan juara liga baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

“Kami melakukan kesilapan kerana kami juara dan pemain sedikit terganggu, ini adalah perkara biasa,” ujar Guardiola berkenaan situasi tersebut.

Dalam pada itu, pengendali Newcastle United, Steve Bruce mengakui kecewa dengan kealpaan bahagian pertahanan yang menyaksikan tuan rumah berputih mata di laman sendiri.

“Pemain-pemain Newcastle United telah memberikan terbaik sepanjang perlawanan, namun kita juga perlu lebih baik semasa bertahan asakan Manchester City.

“Kelalaian bahagian pertahanan ternyata mengecewakan biarpun begitu saya gembira kerana semua pemain telah melakukan tugas masing-masing. Cumanya kami tidak bernasib baik,” katanya.