Newcastle hampir pasti ke Liga Juara-Juara

Guimaraes (kiri) meraikan jaringannya ketika menentang Brighton.- Foto AFP
Guimaraes (kiri) meraikan jaringannya ketika menentang Brighton.- Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Newcastle United, Eddie Howe menyifatkan kemenangan ke atas Brighton dalam saingan Liga Perdana Inggeris tidak akan bermakna jika mereka tidak menewaskan Leicester City Selasa depan untuk mengesahkan tempat dalam saingan Liga Juara-Juara.

The Magpies melakar kemenangan 4-1 ke atas Brighton di St James’ Park sekali gus terus mencerahkan peluang mereka ke kejuaraan tertinggi Eropah itu musim depan.

"Ia adalah kemenangan besar bagi kami tetapi ia tidak akan bermakna jika tidak menang ke atas Leicester dan ia adalah perlawanan yang amat sukar.

"Selepas perlawanan hari ini dan apa yang telah kami berikan dalam perlawanan itu, kami tahu kami perlu mengulanginya.

"Kami tahu kualiti Leicester, jadi kami perlu tenang dan perlu mempunyai fokus dan mentaliti sama seperti yang kami ada hari ini," katanya.

Dalam perlawanan itu, Newcastle mendapat gol pendahuluan melalui jaringan sendiri pemain lawan, Deniz Undav pada minit ke-22 sebelum Dan Burn menggandakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Undav merapatkan kedudukan buat Brighton pada minit ke-51 sebelum Callum Wilson dan Bruno Guimaraes memastikan kemenangan Newcastle United di penghujung perlawanan.

Kemenangan itu meletakkan Newcastle di tangga ketiga dalam carta Liga Perdana dan hanya memerlukan satu kemenangan daripada baki dua perlawanan liga musim ini, di tempat sendiri menentang Leicester pada Isnin dan bertemu Chelsea di tempat lawan untuk memastikan tempat ke saingan elit Eropah.

Kedudukan mereka dalam kelompok empat teratas akan terjamin tanpa perlu menunggu baki dua perlawanan lagi jika Liverpool tewas kepada Aston Villa esok.