Wei Chong-Kai Wun juara Terbuka Hong Kong, tamat kemarau 27 tahun

BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menamatkan penantian 27 tahun Malaysia untuk kembali menjulang gelaran beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong selepas muncul juara edisi kali ini di Arena Kai Tak, pada Ahad.
Pasangan nombor sembilan dunia itu mempamerkan aksi bertenaga apabila menewaskan beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang menghuni ranking ke-18 dunia menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-18 dalam aksi final.
Kejayaan itu cukup bermakna apabila kali terakhir Malaysia merangkul gelaran beregu lelaki kejohanan berkenaan adalah menerusi gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada 1999.
Wei Chong-Kai Wun sekali gus menamatkan kemarau panjang selama 27 tahun untuk mengembalikan kejuaraan itu ke bumi Malaysia.
Lebih manis, kejayaan di Hong Kong itu menyaksikan pasangan negara berkenaan meneruskan momentum cemerlang selepas turut menjuarai Terbuka Perancis bulan lalu.
Pasangan negara itu juga turut membawa pulang hadiah wang tunai AS$39,500 (RM162,469) hasil kejayaan menjuarai kejohanan berstatus Super 500 berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
